Sempat Tadah Tangan Berdoa & Mengadu Letih, Remaja Tunjuk Aksi Pelik Sebelum Maut Kemalangan

Share

Ajal maut di tangan Allah. Tiada tercepat sesaat atau lambat seminit. Tindakan pelik perlakuan seorang remaja yang sempat berdoa dipercayai memohon perlindungan Allah sebelum memulakan perjalanan ternyata memberi petanda itu adalah doanya yang terakhir kepada Allah SWT.

Sebelum kemalangan itu berlaku sekitar jam 12.30 tengah malam di Kampung Bukit Kenak, Jertih semalam, beberapa rakan sempat melihat Mohd Firdaus Mohd Zulkipli, 23 menadah tangan berdoa sebelum mengusap ke mukanya.

Menurut bapa angkat arwah, Mohd Supian Rashid, 50 tahun, Mohd Firdaus yang mesra disapa Daus ada mengadu kepada isterinya yang badannya terlalu letih.

Mohd Supian bapa angkat kepada arwah Firdaus

“Pagi sebelum kejadian itu, Daus datang lebih awal ke gerai di Up town Jertih untuk membuka kedai. Kebetulan gerai jualannya ini dikongsi bersama anak saya, Muhammad Irfan Fahmi. Malam itu anak saya ada urusan di kolejnya dan hanya isteri dan kawan-kawan yang membantu mereka di gerai.

“Dari petang lagi, arwah sudah tunjukkan serba tak kena. Kebetulan malam itu, ramai yang singggah membeli. Arwah pegang duit pun serba tak kena, berterabur. Ke hulu ke hilir seolah-olah ada yang tidak siap. Dia juga mengadu badannya terlalu letih, langsung tak bermaya.

“Bila lihat perlakuannya, isteri saya, Ustazah Ramlah Yusof ada menyuruhnya berehat dahulu. Tapi arwah seolah masih bersemangat bekerja,” katanya yang kemudian menyambung, sekitar jam 12 tengah malam, arwah berkata mahu balik mandi di rumahnya di Kampung Gerai.

“Tapi isteri kata tak payah la. Rehat dulu sebab tengok keadaannya jauh berbeza. Matanya juga seakan-akan terlelap ketika bercakap. Mungkin kita yang tidak faham maknanya di saat kematian tak tahu. Tapi arwah kata tak apa, dia mahu balik mandi seketika sahaja sebelum kembali semula ke gerai,” katanya memaklumkan Daus memanggilnya sebagai abah dan isterinya sebagai Umi dan anaknya sendiri berkawan dengan arwah. Malah dia juga menganggap arwah bagaikan anaknya sendiri.

Arwah maut akibat terlanggar lori mengakibatkan tengkuknya patah

 

Arwah mengadu badannya terlalu letih dan rupanya itu petanda ajal

Hati sudah terdetik sesuatu…

Jelas Supian lagi, ketika arwah Daus menuju ke motosikal RXZ miliknya berkali-kali dia cuba menghidupkan enjinnya tetapi tak boleh.

“Arwah sempat mengeluh dan kemudian berbaring di tangki motosikalnya sebab katanya terlalu letih. Tapi kemudian dia bangun dan membaca ayat Qursi sehingga habis. Mungkin itu petanda akhirnya. Sebaik arwah menghabiskan bacaan ayat Qursi itu, motosikalnya tiba-tiba boleh dihidupkan. Arwah sempat menadah tangan dan berdoa. Mungkin kerana motosikal itu berjaya dihidupkan atau memohon agar perjalanannya dipermudahkan kerana ketika itu tiada kawan-kawan yang mendengar apa arwah ucapkan.

Sambung Supian lagi, di saat arwah Daus meraut kedua telapak tangan ke mukanya, hati isterinya sudah terdetik yang anak ini tak akan sampai ke destinasinya.

“Itu isteri maklumkan kepada saya. Tiba-tiba datang bisikan di hatinya tentang perlakuan ganjil arwah itu. Dan ternyata, bisikan dan detik itu menjadi kenyataan kerana selepas 10 minit arwah pergi, kawan-kawannya mendapat makluman arwah melanggar belakang lori dan meninggal di tempat kejadian akibat kecederaan patah tengkuk selain beberapa anggota badan lain.

“Mereka bimbang untuk bercakap yang arwah sudah meninggal kepada isteri saya  kerana takut isteri terkejut tetapi akhirnya isteri sendiri berkata yang anak itu sudah tiada,” katanya yang mengenali arwah Daus sejak dari kecil lagi kerana dirinya dan arwah bapa Daus berkawan dari kecil.

Jelas Sapian lagi, jika tahun-tahun sebelum ini dia mengusahakan perniagaan di Up Town itu tetapi Ramadan kali ini dia enggan. Tetapi arwah Daus begitu bersemangat sehingga mahu keluarkan modal separuh dan berkongsi dengan anaknya.

Gerai menjual pakaian yang diusahakan arwah di Uptowm Jertih

“Alhamdulilllah perniagaan mereka berjalan lancar. Banyak juga jualannya dan saya sendiri sudah berniat untuk perniagaan kerepek yang baru kami usahakan ini akan diberi 10 peratus untuk arwah,’ katanya memaklumkan arwah anak bongsu dari lima beradik.

Sementara itu, menurut Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd  Zamri Mohd Rowi berkata, kejadian dipercayai berlaku semasa mangsa dari arah Jertih menghala ke Kuala Terengganu.

Katanya, apabila sampai di depan pintu masuk kilang padi di Bukit Kenak sebuah lori yang berada di hadapan mangsa berhenti untuk masuk ke dalam kilang padi tetapi akibat jarak yang terlalu dekat menyebabkan mangsa melanggar bahagian belakang  lori itu.

“Mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala, pinggang dan kaki,” katanya.

Mohd Zamri berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut manakala pemandu lori berusia 58 tahun  beralamat di Kuala Kubang, Jabi tidak cedera.

Menurutnya , kes disiasat menurut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

 

Published by
Almaswa Haji Che Ros