Istimewa sungguh menonton berita malam ini apabila Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin mencemar duli sudi membaca Berita Perdana RTM khusus sempena sambutan ulang tahun ke-75 stesen televisyen nasional tersebut.
Kini setelah lebih empat tahun, kerinduan rakyat jelata untuk menyaksikan Tengku Permaisuri secara langsung menyampaikan berita terubat. Baginda tampil kira-kira 15 minit dalam slot berita tersebut menyampaikan berita berkaitan isu semasa negara.
Tampil anggun dalam persalinan blazer rona merah jambu baginda kelihatan begitu menawan. Apa yang menarik perhatian, walaupun sudah lama tidak berkhidmat sejak berkahwin dengan DYMM Sultan Selangor, gaya dan lenggok pembacaan baginda masih sama seperti dahulu.
Mengimbau kembali detik baginda di bilik berita, 31 Ogos 2016 merupakan hari terakhir baginda membuat kemunculan sebagai pembaca berita setelah lebih 20 tahun bergelar seorang personaliti televisyen.
Mengulas sedikit mengenai kerjaya, Tengku Permaisuri sebelum ini dilihat sebagai sebagai wajah utama dan personaliti ikonik dalam menyampaikan berita di RTM. Baginda pernah diangkat sebagai pembaca berita terbaik Anugerah Seri Angkasa sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2001 dan 2005.
Sumber gambar: Tangkap Layar YouTube Berita RTM