Ramai selesa mengenakan t-shirt & jeans ketika hadiri majlis kahwin kawan sekolah. Suatu masa dahulu pernah jadi perdebatan di kalangan orang muda sesuai atau tidak round neck dipakai di majlis kahwin kerana beranggapan lebih manis jika mengenakan baju berkolar dan kemeja bila menghadiri majlis kenduri kahwin.
Tapi nampaknya sekumpulan pemuda tampil kelainan apabila mengenakan seluar pendek bola dan memakai baju batik menghadiri majlis kahwin kawan baik sejak kecil.
Foto mereka mengenakan seluar pendek bola itu telah tular di media sosial dan ia mendapat perhatian kerana belum pernah ada lagi berbuat demikian. Ini kerana ramai yang selesa mengenakan seluar jeans dan slack ketika menghadiri majlis kenduri kahwin.
Dipetik dari Tribunnews, majlis perkahwinan ini berlaku di Makassar, Indonesia dan tindakan mengenakan seluar bola itu mendapat perhatian dari tetamu yang hadir. Ini kerana jarang sekumpulan individu mengenakan seluar pendek bola bila menghadiri kenduri kahwin.
Dalam video yang tular, tetamu ikut ketawa bila satu persatu pemuda ini menyalami pengantin di atas pelamin. Malah video ini sudah ditonton oleh 232 ribu kali sejak dimuat naik di akaun Instagram @makassar_iinfo
Seorang dari jejaka yang memakai seluar pendek itu, Ade April Pertama berkata, kejadian itu ketika mereka menghadiri kenduri kahwin kawan sepermainan ketika kecil pada Sabtu 8/8 Ogos lalu.
Mereka meraikan pasangan pengantin Dimas Hamdani dan Agma Yulinda.
Jelas Ade yang dikenali sebagai Denta berkata, idea memakai seluar bola itu datang daripadanya.
“Ia satu tindakan spontan dan ingin membuat majlis kahwin kawan lebih meriah. Sebelum ini ada berbincang mahu bawa sepanduk dan kata saya, ia pernah dilakukan dahulu. Jadi nak buat kelainan, kami pilih pakai seluar pendek saja,” kata jejaka berusia 26 tahun ini.
Kata Denta, tindakan dia dan sembilan orang kawan memakai seluar pendek adalah untuk berseronok sahaja.
“Kami berkawan sejak kecil dan sudah akrab sebagai satu keluarga. Saya mahu buat kelainan di majlis kahwinnya sebagai kenangan. Itu saja,” katanya yang bertugas sebagai jurutera.