Dua hari di festival muzik tahunan, Good Vibes Weekender pada hujung minggu lalu ternyata tidak cukup dan membuatkan pengunjung inginkan lebih!
Ia gara-gara persembahan mantap yang membariskan penyanyi terkenal dari Malaysia dan antarabangsa pada hari kedua yang juga merupakan hari terakhir ia berlangsung. Antaranya terdiri daripada Late Night Frequency yang juga merupakan penerima trofi Lagu Pop Elektronik/Dance Terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM) 2022 baru-baru ini, Leaism, Yonnyboii, DJ Shallou, Beabadoobee, Pink Sweat$ dan penyanyi kumpulan GOT7, Jackson Wang.
Jelaslah, persembahan Jackson Wang adalah momen yang paling ditunggu-tunggukan oleh semua terutamanya dalam kalangan Team Wang yang setia menanti dengan light stick serta baju T ‘Team Wang’ sejak jam 4 petang lagi.
Berlatar belakangkan skrin tertera dengan perkataan Magic Man, kehadiran bintang K-pop kelahiran Hong Kong itu di atas pentas disambut teriakan peminat yang tidak letih menghalakan kamera telefon pintar masing-masing demi merakam aksi Jackson Wang.
Persembahan pembukaan penuh bertenaga menerusi lagu 100 Ways diteruskan dengan lagu-lagu hit seperti Go Ghost, Champagne Cool, Drive It Like You Stole It dan Cruel.
Jackson yang memberikan 100 peratus dalam setiap persembahannya pada beberapa ketika membuatkan peminat khuatir apabila dia kelihatan seperti terpaksa mengambil nafas dalam serta sedikit tercungap di antara lagu.
Mungkin sekali, Jackson masih kepenatan setelah baru sahaja melakukan persembahan di Jakarta, Indonesia sehari sebelumnya sempena We The Fest. Dia bagaimanapun tidak menjadikan itu sebagai alasan dan terus meningkatkan adrenalin peminatnya apabila mempersembahkan Blow berhampiran peminat di barisan paling hadapan.
Paling diingati tentulah respon peminat yang mengesyorkan Jackson makan di restoran Mamak setelah penyanyi berusia 28 tahun itu bertanyakan di manakah tempat makan yang masih dibuka selepas jam 12 tengah malam. Disebabkan respon peminat itu juga, perkataan ‘Mamak’ pantas bertukar tular di media sosial seharian.
“Ingin pergi ke Mamak tapi ia tutup pada 1 pagi. Akan mencubanya esok (semalam). Ingin lepak dengan kru dulu. Terima kasih untuk cadangan itu, sekarang saya tahu ke mana ingin pergi.
“Terima kasih kepada #Malaysia kerana berada di sana. Sila pulang dengan selamat dan jika anda terus berada di luar, jaga keselamatan.
“Saya cintakan anda Malaysia. #MAGICMAN akan kembali lagi.”
Selain Jackson Wang, Good Vibes Festival yang berlangsung pada 23 hingga 24 September lalu juga disertai oleh seorang lagi penyanyi K-pop daripada kumpulan 2NE1, CL.
ARTIKEL BERKAITAN : “Saya Betul Nak Tanggalkan Jaket..” CL Pun Akui Cuaca Panas Malaysia Di Good Vibes Weekender – REMAJA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
”.