“Semua Persiapan Hari Jadi Dah Siap Tapi Allah Lebih Sayang”, Pelajar Politeknik Maut Kemalangan

Share

Seorang ibu, Wan Hasmiza Wan Ismail merayu agar saksi kejadian yang melihat kemalangan maut melibatkan anak sulungnya Nor Hafiz Hafizan Raja Nor Azuan, 19 tahun  di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) berhampiran susur keluar ke Lebuhraya Persekutuan tampil dengan segera bagi meredakan pertanyaan yang membelenggu jiwa raganya.

Mengidap kanser limfoma tahap dua a (bahagian limpa), Wan Hasmiza yang perlu menjalani kemoterapi saban minggu berkata, sejak kejadian menimpa anak sulungnya itu, dia selalu menangis.

“Hati saya tertanya-tanya. Kalau ada saksi kejadian, tolonglah tampil ke balai polis berdekatan untuk menjawap semua pertanyaan di hati saya ini,” katanya yang menangis tatkala dihubungi REMAJA.

“Siapa akan jaga Mama time Mama kemoterapi nanti, itulah pertanyaan Wan Hasmiza selepas pemergian anak sulungnya ini

Menurut wanita berusia 40 tahun yang terpaksa berhenti kerja Februari lalu berikutan kesihatannya semakin melemah kerana kanser, dia begitu terkilan kerana tidak sempat untuk menyambut ulang tahun ke 19 anak sulungnya itu.

“Semuanya sudah saya sediakan termasuk membeli makanan, penyediaan permainan malah pemilihan tema baju yang bakal disambut Ahad ini. Saya ingatkan untuk maklumkan pada anak hari Jumaat itu tetapi Allah lebih sayangkan dirinya,” katanya mengesahkan anaknya ditemui maut di Lebuhraya LDP itu malah orang awam datang ke rumah mencarinya bagi memaklumkan kejadian tersebut Khamis lalu.

Kata Wan Hasmiza, sekitar jam 11 lebih, pihak polis memaklumkan kepadanya bahawa anaknya kemalangan di Jalan Klang Lama dan kini berada di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

“Saya sudah hampir masuk tidur ketika itu ditambah rasa tidak sihat akibat kanser. Bila ketukan di pintu, pihak polis memaklumkan kejadian ini. Awalnya saya menyangka bahawa anak kemalangan biasa sahaja.

“Tapi selepas pihak polis pulang, saya ternampak seorang lelaki seperti mencari-cari rumah seseorang. Saya tegur dia, katanya dia mencari rumah Nor Hafiz. Bila saya kata saya emak Along, dia maklumkan anak kemalangan di Lebuhraya LDP tu dan mayatnya ada di lokasi kejadian.

“Mulanya saya tak percaya kerana pihak polis baru maklumkan lain tapi dia cakap dia bawa bukti iaitu kad pengenalan anak, ketika itulah saya mula rebah sehingga perlu dipapah. Kami bergegas ke lokasi kejadian dan benar Along sudah terbujur kaku,’ katanya terus menangis.

Pelajar Politeknik Shah Alam ini bercita-cita mahu mati syahid dalam melaksanakan tanggungjawab pada keluarganya

Jelas Wan Hasmiza lagi, dari cakap penunggang motosikal, mereka mengakui sudah mengalihkan motosikal Along dari lorong tengah ke tepi sementara mayat anak masih berada di lorong laju.

“Kalau diikutkan dari keadaan motosikalnya, ada besar kemungkinan dilanggar dari belakang. Siapa saksinya tolonglah tampil kerana ia memberi besar ertinya kepada saya,’ katanya lagi.

Menjelaskan kematian anaknya akibat kecederaan dalaman akibat langgaran, Wan Hasmiza menjelaskan bahagian kepala anaknya cuma ada sedikit luka. Tak ada patah di bahagian tubuhnya.

“Saya tak tahu sama ada anak terbabas atau dilanggar dari arah belakang. Saya mahukan sebuah jawapan. Kalau betul arwah terbabas tolonglah datang ke balai polis ceritakan situasi itu. Sementara kalau arwah dilanggar lari juga, tolonglah tampil. Ada saksi-saksi yang membantu berkata, mereka cuma nampak arwah anak terbaring di lorong laju sahaja dan mereka cuma menolong mengalihkan motosikalnya. Itu saja maklumat saya dapat,” katanya.

ARTIKEL LAIN : 16 Tahun Tapi Belum Period, Pakar O & G Beritahu Risiko Bila Dewasa Nanti

Tambah ibu empat anak ini lagi, arwah anaknya kini berada di Semester 3, Diploma Kejuruteraan Mekanikal (bahagian pembungkusan) di Politeknik Shah Alam.
Dahulu arwah anaknya itu tinggal di asrama namun sejak dia perlu menjalani rawatan kemoterapi, Along meminta izin untuk duduk luar demi menjaga saya.

“Dialah yang masak di rumah bila saya tak sihat terutama lepas kemoterapi. Dialah sidaikan baju malah anak juga bekerja part time di Giant Kelana Jaya demi membantu kewangan keluarga kami kerana suami hanya bekerja kilang dengan pendapatan RM1500 sebulan.

“Kalau hari biasa Along kerja di Giant tapi hujung minggu arwah kerja tukang bancuh air di PKNS demi membantu saya,” katanya yang sehingga hari ini tidak mampu menjamah nasi kerana berasa kehilangan selain rasa terkilan.

“Hari kejadian, saya masakkan kari, lauk kesukaannya. Biasa lepas balik dari Politeknik, arwah akan makan nasi dahulu tapi pada hari itu, dia solat dulu. Makan pun tak sempat sebelum bergegas ke tempat kerja. Sebab itulah saya begitu terkilan kerana anak tak sempat jamah makanannya,” katanya memaklumkan, selepas kematian anaknya itu, barulah dia dapat tahu bahawa anaknya disayangi ramai termasuk bergiat aktif dalam kerja dakwah dan kebajikan islam malah menjadi naib presidennya.

“Arwah selalu buat kerja-kerja dakwah selain sampaikan bantuan. Saya ingat lagi dia minta adiknya belikan cakera kosong untuknya. Malah dia minta adiknya bawa turun laptop, cd dan chargernya untuk dia siapkan perbentangan projek itu.Bila dia meninggal, barulah kawan-kawannya bercerita. Allah, mulianya hatimu nak!

Ibu empat anak ini diuji dengan kanser limfoma tahap dua dan perlu jalani kemoterapi

Jelas Wan Hasmiza lagi, anaknya itu selalu mengucapkan ingin mati syahid dalam mempertahankan keluarga ternyata menjadi kenyatan kerana anaknya itu pergi meninggalkan dirinya sekeluarga selepas selesai membuat kerja part time. Malah apa yang membuatkan hatinya bertambah sedih, anak yang rapat dengan arwah iaitu Syakirah selalu menyebut dan bertanya di mana abang kesayangannya itu.

Bagi anda yang ada melihat kejadian kemalangan pada 18 Oktober lalu di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) berdekatan susur ke Lebuhraya Persekutuan, boleh hubungi Wan Hasmiza sendiri di talian 018-4675768. Bantulah ibu ini kerana dia mahukan sebuah kepastian.

Baca juga luahan hati Wan Hasmiza di fbnya:

Published by
Almaswa Haji Che Ros