Semua Saman AES Bermula 2012 Dibatalkan, Tak Payah Bayar

Share

Nampaknya ada satu berita baik untuk rakyat Malaysia apabila kerajaan hari ini memutuskan untuk membatalkan semua saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang dikenakan kepada pengguna.

Pengumuman ini dilakukan oleh Menteri Pengangkutan, Anyhony Loke Siew Fook yang memaklumkan bahawa kesemua saman AES  sejak 2012 berjumlah 3.1 juta, membabitkan nilai RM435 juta dibatalkan.

Beliau berkata, kerajaan juga memutuskan AES akan diambil alih oleh Jabatan Pengangkutan Jalan, mulai 1 September ini.

“Ia selepas kerajaan putuskan untuk tidak sambung kontrak dengan dua syarikat konsesi AES,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Menurut Loke, kerajaan akan membayar balik secara berperingkat RM555 juta daripada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang digunakan kerajaan terdahulu bagi membayar pengambilalihan dua syarikat konsesi AES.

Pada 12 Jun lalu, Loke berkata, kerajaan mengkaji semula AES yang mana keputusannya akan dimaklumkan dalam tempoh sebulan atau dua bulan. Sumber :- HARIAN METRO

Bila nampak saja tanda ini, pengguna jalan raya akan memperlahankan kenderaan masing-masing sebelum memecut kembali selepas melintasi kamera aes

 

Kamera AES yang sudah merakam lebih jutaan pesalah jalan raya yang membawa kenderaan laju dari had ditetapkan

 

Menurut semakan di Wikipedia, AES adalah satu usaha kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Pengangkutan / Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk memperbaiki dan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di Malaysia yang dikira terlalu tinggi. JPJ menswastakan projek AES itu.

Dalam perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010, timbalan menteri pengangkutan ketika itu memaklumkan bahawa urusan itu akan dikendalikan oleh Beta Tegap Sdn Bhd dan Commercial Circle (M) Sdn Bhd. Kerajaan tidak mengeluarkan apa-apa peruntukan kerana mesin, kamera dan semuanya akan disediakan oleh dua syarikat ini.

Kereta yang dipandu laju melebihi had yang ditetapkan akan dikenakan saman RM300. Sistem AES dikuatkuasakan pada 23 September 2012. Pada lapan hari pertama pelancarannya, sebanyak 63,558 kesalahan trafik telah dicatatkan dan sebanyak 170 juta saman akan dikeluarkan. AES dimiliki oleh Kementerian Pengangkutan dan bukan entiti persendirian.

Wow, so lebih baik ada AES atau tidak ya? Apa komen korang mengenainya?

 

 

Published by
Almaswa Haji Che Ros