Tidak dinafikan negara jiran kita, Indonesia adalah antara yang sering menghasilkan filem-filem seram yang berjaya membuatkan penonton tidak senang duduk di dalam pawagam mahu pun di hadapan kaca televisyen.

Ada juga yang membuatkan kita hingga takut nak ke toilet dan tidur bersendirian. Babak-babak suspen yang dipaparkan memang menjadi!

Bagi korang yang suka dan tercari-cari filem seram Indonesia apa yang nak ditonton, berikut kamu senaraikan antara 14 filem seram terbaik dari Indonesia.

1. Pengabdi Setan

Ia berkisarkan tentang sebuah keluarga di mana si ibu telah mengalami sakit yang aneh selama tiga tahun sebelum meninggal dunia. Si bapa kemudian telah mendapat kerja di luar kota dan terpaksa meninggalkan anak-anaknya di rumah.

Namun kejadian aneh mula berlaku apabila roh si ibu muncul di rumah. Pada mulanya anak-anak itu merasakan si ibu mahu datang melawat mereka tetapi akhirnya mengetahui bahawa roh ibu mereka mahu membawa mereka pergi ke dunianya.

2. Kuntilanak

Sekumpulan kanak-kanak meneroka sebuah rumah terbiar untuk cuba memenangi rancangan realiti yang mahu membuktikan kewujudan kuntilanak yang sering menculik anak kecil.

3. Makmum

Diadaptasi dari filem pendek yang berkisar mengenai entiti menakutkan yang mengganggu seorang wanita ketika sedang menunaikan solat.

4. Ruqyah: The Exorcism

Pada pertengahan tahun 2012, Mahisa (Evan Sanders) ingin menolong seorang pelakon bernama Asha (Celine Evangelista) yang merasa diganggu oleh makhluk halus. Merasa terlalu banyak kejadian aneh yang dilihatnya, ia yakin bahawa Asha tengah dirasuki makhluk ghaib. Selepas berunding dengan seorang ustadz kenamaan, ia mencuba melakukan ruqyah untuk membersihkan Asha.

Ads

Namun ternyata apa yang merasuki Asha tidak mudah untuk dilepaskan, walaupun menyerang Mahisa. Apa yang merasuki Asha memang diperuntukkan menjadi “pemikat” agar disukai banyak orang. Mahisa pun tertarik kepada Asha.

Khabarnya filem ini adalah daripada kisah benar yang berlaku terhadap salah seorang selebriti di Indonesia. Wallahualam.

5. Suzzana Bernapas Dalam Kubur

Suzzanna dan Satria tinggal di rumah bersama tiga pembantu. Satu hari, apabila Satria bekerja di luar kawasan, empat pekerjanya melihat ini sebagai peluang untuk merompak rumahnya. Mereka mendapat peluang apabila rumah itu ditinggalkan kosong selepas Suzanna dan pembantunya keluar.

Malangnya, ketika rompakan berlaku, Suzzanna pulang ke rumah seorang diri. Mereka kemudian telah membunuhnya dan menanam mayatnya di belakang rumah. Bagaimanapun, keesokan harinya, Suzzanna kembali ke rumah itu seperti tiada apa yang berlaku pada malam sebelumnya.

6. Santet: Black Magic

Selepas tinggal bertahun di Amerika, Rendy pulang ke kampung halamannya di Indonesia bersama isteri dan dua anak mereka. Dia perlu menjaga ibunya yang sedang sakit dan tinggal berseorangan selepas bapanya membunuh diri.

Ibunya secara tiba-tiba mula menyerang isteri dan anaknya, dan apabila ibunya muntah darah, kaca dan paku di hadapan mereka, Rendy membawa ibunya ke hospital walaupun tahu tiada perubatan moden yang dapat membantu. Rendy mula menyedari ibunya terkena sihir hitam iaitu santau.

7. Sebelum Iblis Menjemput: Ayat 2

Dua tahun selepas berjaya menyelamatkan diri daripada kuasa jahat yang menghancurkan keluarganya, Alfie dan adiknya Nara cuba meneruskan kehidupan seperti biasa. Biarpun cuba melupakan masa lampaunya, namun dia masih dihantui gambaran-gambaran menakutkan. Alfie menyedari akan bahaya yang bakal dihadapi bersama rakan-rakannya apabila muncul satu entiti jahat yang ingin membunuh mereka.

Ads

8. Pocong The Origin

Sebelum seorang pembunuh kejam bernama Ananta dihukum bunuh oleh kerajaan negerinya, dia memberitahu anak perempuannya Sasthi bahawa dia perlu dikebumikan di kampung asalnya.

Selepas kematiannya, Sasthi dan seorang pengawal penjara, Yama, pergi ke kampung halaman Ananta membawa mayat ayahnya. Sepanjang perjalanan, mereka menghadapi pelbagai gangguan aneh, membuatkan mereka mengalami kepayahan memindahkan mayat itu, lebih-lebih lagi mereka perlu melakukannya sebelum bulan purnama.

Ini kerana Ananta dipercayai mengamalkan ilmu hitam di mana jika pengamalnya tidak dikebumikan di kampung asal selepas kematian, mereka akan dihidupkan semula dan bulan purnama menjadikan mereka lebih kuat.

9. Perempuan Tanah Jahanam

Maya, seorang gadis muda yang terselamat dari percubaan membunuh di bandar, berpindah ke kampung halamannya selepas mendapat tahu dia mewarisi sebuah rumah di sana.

Dia pulang ke kampung itu bersama rakannya Dini, tanpa menyedari orang-orang kampung sedang mencarinya untuk membunuhnya demi menghentikan sumpahan yang mengganggu kampung tersebut selama bertahun-tahun. Dia menyedari bahawa dia kini perlu berjuang untuk meneruskan hidup, dalam pada dia merungkai masa silamnya yang rumit dengan lebih dalam.

10. Sakral: Keramat

Keluarga Melina diganggu satu entiti misteri dan lebih mengejutkan, orang-orang di sekelilingnya mula mati seorang demi seorang. Apabila suaminya, Daniel, cuba membongkar rahsia di sebalik gangguan aneh dan kematian itu, dia mendapati semuanya berkait dengan kematian salah seorang anak kembar mereka beberapa tahun lalu.

Ads

Melina tidak pernah melupakan kematian itu, sementara kembar yang hidup, Flora, telah membesar menjadi seorang kanak-kanak berusia lima tahun yang muram dan bermisteri. Semakin Daniel cuba merungkai misteri itu, semakin banyak bahaya yang dihadapi keluarganya.

11. Jaga Pocong

Lakonan mantap daripada Acha Septriasa yang memegang watak sebagai Mila, seorang jururawat yang bekerja di hospital dan terpaksa ditugaskan di rumah seorang pesakit wanita tua bernama Sulastri. Walaupun mendapat firasat yang tidak baik, Mila berusaha untuk menafikannya dan akhirnya, dia mendapati bahawa pesakit yang diuruskannya itu sudah meninggal dunia.

12. Si Manis Jembatan Ancol

Sebuah ‘reboot’ kepada filem yang sama judul pada tahun 1990-an. Ia berkisar mengenai seorang wanita bernama Maryam yang tersepit dalam perkahwinan yang tidak bahagia bersama Roy. Dia mula berasa selesa berkawan rapat dengan Yudha, seorang pelukis yang baru dikenalinya.

Namun persahabatan ini menyebabkan suaminya telah menuduhnya mempunyai hubungan sulit dan dia kemudiannya mati dalam keadaan tragis. Sejak kematiannya, kelibat roh Maryam, yang memakai selendang merah, mula muncul di tempat awam, menakutkan orang awam yang terserempak dengannya.

13. Danur

Ketika ulang tahun kelapannya, seorang budak perempuan bernama Risa telah membuat permintaan untuk mempunyai rakan supaya dia tidak berasa sunyi lagi. Bagaimanapun ibunya, Elly, mula mengesyaki sesuatu apabila anak perempuannya sering bergelak dan bermain seorang diri.

Dengan bantuan rakan Elly, Risa dipaksa untuk meninggalkan rumah neneknya. Sembilan tahun kemudian Risa perlu pulang semula ke rumah neneknya dengan adiknya Riri. Ketika ini kejadian pelik dan menakutkan mula berlaku dan secara tiba-tiba Riri hilang. Risa kini perlu menyelamatkan adiknya daripada enititi jahat yang merancang membawa Riri ke dunia lain.

14. Aku Tahu Kapan Kamu Mati

Siena mendapati dirinya mempunyai kebolehan untuk melihat petanda seseorang akan mati selepas dia mengalami insiden ‘mati suri’, iaitu mati hidup semula. Walau bagaimanapun, rakan-rakannya, Flo, Neni dan Vina, tidak mempercayai akan kebolehannya itu.

Dia menjadi semakin takut apabila orang-orang di sekelilingnya mati seorang demi seorang, selepas muncul roh-roh yang ingin menjemput mereka. Apabila petanda itu muncul pada lelaki yang disukainya, Brama, serta orang-orang yang rapat dengannya, Siena cuba untuk menyelamatkan mereka, sehinggalah petanda itu muncul pada dirinya sendiri.

Selamat menonton!

Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI