Senarai Haiwan Liar Paling Popular Diseludup Untuk Dimakan

Share

Sikap kerakusan manusia terhadap haiwan hari ini mendatangkan kebimbangan banyak pihak kerana tindakan ini dapat mengancam kepada kepupusan.

Permintaan eksotik ini wujud kerana dipercayai bahagian-bahagian haiwan tertentu ini mampu mengubati penyakit, memberi tenaga batin dan untuk tujuan kecantikan.

Oleh kerana permintaan tinggi bagi sesebuah negara, terdapat beberapa haiwan liar yang diseludup untuk dijadikan sebagai makanan.

Jom kita lihat antara haiwan liar popular yang selalu diseludup.

1. Tenggiling

Sejak tahun 2000, lebih 1 juta ekor tenggiling didagangkan di seluruh dunia bagi memenuhi permintaan tinggi di China dan Vietnam. Dagingnya dikatakan mempunyai pelbagai nutrisi dan baik untuk buah pinggang, kuatkan tenaga batin lelaki dan membantu memanaskan badan.

Sisik tenggiling juga digunakan dalam perubatan tradisional. Kulitnya pula lazimnya digunakan untuk membuat beg dan kasut. Darahnya dikatakan mempunyai khasiat yang tersendiri.

2. Ikan jerung

Walaupun jerung merupakan haiwan laut yang digeruni manusia, tetapi haiwan ini sebenarnya diancam kepupusan akibat perbuatan manusia. Beberapa spesis haiwan ini diburu dan diseludup untuk bahagian siripnya dijadikan sup selain bahagian-bahagian lain turut dijadikan hidangan makanan eksotik.

3. Ular

Paling popular adalah ular sawa, mungkin kerana saiznya besar dan dagingnya banyak namun ada yang mengatakan rasanya juga sedap kerana dagingnya manis.

Ada juga yang mendakwa daging ular sawa mampu memberikan tenaga kepada penggemarnya dan menguatkan tenaga syahwat. Biasanya, ular akan disiat kulitnya terlebih dahulu sebelum dimasak. Ular masak kicap dan sup ular adalah antara hidangan yang paling popular.

4. Katak

Menurut penggemarnya, daging katak mempunyai khasiat termasuk mampu mencegah kanser, menyembuhkan luka dengan pantas dan mencegah asma. Bahagian katak yang popular adalah bahagian kakinya, dimasak dengan cara goreng atau sup. Bahkan, ada yang mendakwa protein di kaki katak lebih banyak daripada protein pada dada ayam.

5. Biawak

Kalau di Indonesia, biawak biasanya dijadikan sate meskipun ada yang memasaknya dengan cara lain. Dagingnya dikatakan lebih liat daripada daging lembu dan kambing namun rasanya dikatakan agak sedap.

Penggemarnya percaya daging biawak mampu menyembuhkan penyakit gatal-gatal kulit dan asma. Disebalik kulit biawak yang kasar dan menggerutu, ada orang percaya daging haiwan tersebut mampu mencantikkan kulit wanita dan menjadikannya lebih halus.

6. Tikus

Wanita Vietnam percaya dengan memakan tikus ia menjadikan mereka awet muda tetapi bukan semua tikus yang mereka makan. Biasanya, mereka akan makan tikus yang berada di sawah padi, bukan tikus yang dijumpai di longkang.

Bagi mereka, tikus yang berada di longkang adalah kotor, tetapi tidak bagi tikus yang ada di sawah kerana hanya makan padi dan minum air sawah. Menurut mereka lagi, rasa daging tikus lebih sedap berbanding daging lembu.

7. Kelawar

Kelawar sebenarnya telah menjadi sumber protein sejak zaman purba. Ia masih diamalkan di beberapa negara kerana kepercayaan khasiat selain daging kelawar yang dikatakan sedap.

Walau bagaimanapun, pakar kesihatan awam memberi amaran pengambilan daging kelawar berisiko mengancam kesihatan awam kerana haiwan ini adalah pembawa semula jadi untuk virus ebola dan marburg.

Hm, kembang tekak bila memikirkan macam mana orang boleh makan binatang yang pelik-pelik ni eh?

Sumber: Sinar Harian

Published by
Noor Ain Norman