Seorang lagi wakil Malaysia kini sedang cuba mengharumkan nama negara di pentas ratu cantik antarabangsa.
Andreana Celly, 20 yang berasal dari Lundu, Sarawak sedang mewakili Malaysia di pertandingan Miss Supranational 2024 dan ternyata, kehadirannya di Poland berjaya mencuri perhatian peminat ratu cantik dek personaliti dan stail fesyen Andreanna yang sering tampil on-point.
Antara stail yang digemari REMAJA termasuklah gaya athleisure
glamor apabila Andreana memadankan persalinan mesra sukan dengan jaket berbulu, gaun two-piece serba keemasan sewaktu acara kalungan kain sash dan helaian jaket telus pandang punting yang dipadankannya dengan gaun putih pendek dengan perincian fabrik lace.Tidak lama lagi, satu lagi gaya yang dibawakan Andreana di Poland bakal menjadi bualan komuniti ratu cantik di sana.
Menerusi segmen kostum nasional, Andreana dan organisasi Miss Supranational Malaysia telah memperkenalkan kostum ‘Kumang’ yang diinspirasikan daripada seni kebudayaan dan kepercayaan masyarakat Iban di Sarawak.
Menurut kenyataan yang diberikan oleh pihak organisasi, Kumang adalah merupakan figura dewi ibu yang dihormati oleh masyarakat iban dan sering diraikan sewaktu pertandingan ratu cantik di Sarawak kerana kecantikannya yang tiada tandingan serta kemahiran menenun yang luar biasa.
Kostum Kumang ini turut mempamerkan warna-warna serasi dengan kebudayaan masyarakat Iban. Merah misalnya melambangkan darah, kehidupan dan tenaga.
Kuning pula mewakili matahari, cahaya dan kehangatan dan dikaitkan dengan Sengalang Burong; dewa peperangan dan penyembuhan. Warna emas pada kostum ini pula melambang kemakmuran dan nasib baik manakala putih mewakili elemen kesucian serta kebersihan.
Bagi yang tertanya-tanya makna disebalik gong pada kedua-dua belah lengannya, ia merupakan simbol irama kegembiraan, perayaan dan sering dekat di hati masyarakat Iban tanpa mengira peringkat kehidupan mereka. Sebagai info, gong selalu dimainkan semasa acara kemasyarakatan yang penting dalam komuniti Iban di Malaysia.
ARTIKEL BERKAITAN: Taring Makin Tajam! Ini Fakta Menarik Wakil Miss Supranational Malaysia 2023, Deidre Walker – REMAJA
BACA LAGI: Kenangan Manis Capai Top 24 Miss Supranational 2022, Melisha Lin Akui Bukan Semuanya Glamor – REMAJA
Pentas akhir pertandingan Miss Supranational 2024 bakal dilangsungkan pada 6 Julai kelak.
FOTO: Instagram Andreanna Celly