Tanggal 29 November 2022 merupakan detik gemilang buat para wanita dari bumi Timur Tengah apabila wakil pertandingan ratu cantik Miss Earth dari Palestin, Nadeen Ayoub tampil menjuarai gelaran Miss Earth Water – sekaligus menjadi wakil ratu cantik Palestin pertama dalam sejarah perwakilan negara tersebut untk memenangi pertandingan ratu cantik di peringkat antarabangsa.
Nadeen Ayoub yang pada waktu itu baru berusia 24 tahun dimahkotakan di Manila, Filipina bersama-sama tiga lagi juara kategori masing-masing termasuklah juara gelaran utama Miss Earth 2022 dari Korea Selatan, Mina Sue Choi; Andrea Aguilera dari Colombia (gelaran Miss Fire 2022) dan Sheridan Mortlock dari Australia (gelaran Miss Air 2022).
Sepanjang hampir setahun selepas malam kemenangan itu, masing-masing telahpun bertugas di bawah pengurusan organisasi Miss Earth ke berpuluh-puluh buah negara bagi menyampaikan mesej kesejahteraan terhadap alam sekitar kepada masyarakat di seluruh dunia.
Terbaru, Nadeen sepatutnya dijadualkan untuk berada di acara Miss Earth Vietnam 2023 di mana beliau akan meraikan kemenangan wakil dari Vietnam bagi edisi tahun ini.
Bagaimanapun, Nadeen dilaporkan tidak membuat kemunculan seperti yang diharapkan lalu membuatkan peminat dunia ratu cantik tertanya-tanya mengenai keberadaannnya.
Nadeen yang juga merupakan seorang jurulatih kecergasan dan penasihat nutrisi rupa-rupanya mempunyai alasan yang kukuh untuk tidak berada di Vietnam.
Bukannya empunya badan enggan muncul secara sengaja, namun Nadeen sensitif terhadap situasi peperangan yang sedang melanda negara Palestin.
Serangan berbalas di antara Palestin dan Israel yang menyaksikan ramai orang ramai tidak bersalah terbunuh termasuklah kanak-kanak membuatkan Nadeen memilih untuk terus setia kekal dengan negara kelahirannya.
“Ramai di antara anda bertanyakan saya mengapa saya tidak menghadiri Miss Earth Vietnam 2023.
“Ini merupakan waktu yang cukup menyedihkan bagi negara saya dan saya perlu bersama mereka memandangan waktu ini tidak sesuai (bagi saya) terlibat dengan keraian. Saya sedang berkabung bersama-sama seluruh rakyat (Palestin).”
“Sepanjang beberapa hari yang lalu, saya terjaga dari tidur dan masuk tidur sambil terkenangkan kanak-kanak di Palestin dibunuh. Insiden ini boleh terjadi kepada saya mahupun anda.. apa yang membezakan kita dengan mereka adalah kita tidak dilahirkan di Gaza,” catatnya menerusi hantaran Instagram Story.
Memetik temubual bersama Institute for Middle East Understanding (IMEU) yang diterbitkan pada 13 Februari 2023, Nadeen menyifatkan pertandingan ratu cantik seperti Miss Earth sebagai caranya untuk memecahkan tembok streotaip yang dihadapi oleh wanita Palestin dan negara-negara Arab dalam laporan media mereka.
“Wanita Arab adalah golongan yang kental, mempunyai bermacam-macam kelebihan untuk ditawarkan, berpelajaran dan cantik. Cantik bukan hanya dari luaran tetapi kami juga mampu berkongsi kepada dunia mengenai budaya serta sejarah sebenar terbinanya negara Palestin sejak dahulu kala,” katanya.
Nadeen dibesarkan di beberapa buah negara termasuklah di Palestin, Amerika Syarikat dan Kanada. Biarpun terpaksa mengikut keluarga bermastautin ketika zaman kanak-kanak, ibu bapa Nadeen serius dalam memastikan beliau terus kekal dengan adat resam seorang warga Palestin malah berbangga dengan latar belakangnya itu.
Setelah menamatkan pengajian dalam jurusan sarjana muda Sastera dan Psikologi daripada sebuah universiti di Kanada, Nadeen tidak teragak-agak untuk pulang semula ke Palestin untuk berkhidmat di kawasan Tebing Barat.
Sebagai info, pertandingan Miss Earth mengikut sejarah penganjurannya merupakan salah satu daripada empat buah pertandingan ratu cantik antarabangsa yang diiktiraf sebagai ‘The Big 4’; di samping Miss World, Miss Universe dan Miss International.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.