Gaya Hidup

Sentiasa Kekal Aura Positif, Mek Yun Harap Undang-Undang Terhadap Pembuli Siber Diperketat

Share

Pempengaruh yang terkenal fasih bercakap dialek Melayu Kelantan, Mek Yun baru-baru ini berkongsi bahawa dia juga tidak terlepas menjadi mangsa buli siber walaupun sentiasa menyebarkan aura positif.

Mek Yun atau nama sebenar Wee Yun Nee (27) berkata dia pernah dibuli di media sosial dan diejek kerana mempunyai bentuk tumbuh gempal.

Justeru, apa yang berlaku kepada pempengaruh, Rajeswary Appahu atau Esha baru-baru ini turut meninggalkan kesan kepada anak bongsu daripada tiga adik-beradik itu.

“Tentulah saya terkesan dengan kes Esha kerana saya juga seorang pencipta kandungan di media sosial seperti mendiang dan sama-sama terdedah dengan perkara seperti itu (buli siber)”

“Satu perkara mengenai media sosial, kita tidak boleh kawal apa yang orang nak kata. Di awal penglibatan, saya pernah rasa tidak mahu hasilkan apa-apa video kerana kerap terima komen negatif”

“Bila fikir semula, adakah berbaloi untuk kita berhenti lakukan sesuatu yang kita suka hanya kerana mereka yang berada di belakang skrin (warganet) dan tidak mengenali kita secara peribadi,” katanya lagi.

BACA: “Pengikut Saya Tidak Berperangai Pelik,”- Masih Trauma Insiden Diekori Lelaki Warga Asing, Mek Yun Tak Salahkan Populariti

Dalam pada itu, Mek Yun juga berharap agar pihak berkuasa memperketat undang-undang dengan lebih tegas terhadap para pembuli, lebih lagi di ruang siber.

“Wujudkan satu undang-undang dan ambil tindakan tegas terhadap pembuli siber”

“Kebanyakan orang, mereka fikir kata-kata mereka itu biasa sahaja tetapi bila kita berada dalam posisi seseorang yang mungkin mengalami masalah, baru mereka tahu betapa sukarnya berdepan dengan komen negatif,” jelasnya.

Dia turut mengingatkan pempengaruh lain untuk membina ‘dinding’ supaya setiap komen negatif yang dilontarkan oleh warga maya di media sosial tidak memberi kesan yang buruk kepada mereka.

BACA: Mekyun Ajak Normalisasikan ‘Reuse’ Baju Raya Lama, Muat Pakai Kebaya Ibu Sendiri!

Selain itu, wanita berdarah Tionghua itu juga turut memberi pesanan kepada masyarakat yang mahu meninggalkan komen tidak baik agar sentiasa berfikir banyak kali sebelum meninggalkan sebarang komen di media sosial kerana bimbang ia akan beri kesan buruk, lebih lagi kepada mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental.

Sekadar info, dalam perkembangan terkini, Mek Yun diberi kepercayaan membawa watak Dee dalam sebuah drama terbaru Perang Nasi Dagang arahan Issey Fazlisham yang ditayangkan di Astro Warna.

Sumber: Sinar

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE