Kehebatan pereka fesyen Malaysia yang tersohor seantero dunia, Datuk Seri Bernard Chandran tidak dapat disangkal lagi. Busana rekaannya senantiasa menjadi pilihan golongan bangsawan, orang kenamaan dan juga selebriti terkenal.
Terbaharu, anak jati Selangor berusia 54 tahun ini telah diberikan tugas untuk mereka busana khusus buat Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah sempena hari bahagianya.
Dalam satu hantaran di laman Instagram yang dimuat naik oleh jurusolek, Newtron Wangvisarn dapat dilihat pereka fesyen itu sedang meletakkan layah di atas kepala puteri Sultan Brunei itu.
Rekaan baju kurung dalam potongan klasik berona putih itu terlihat ringkas namun diserikan dengan sulaman dan juga taburan batuan berkilau yang meliputi keseluruhan busana. Penampilan Puteri Fadzilah dilengkapkan lagi dengan layah berenda yang memberi nuansa kemewahan.
Menaikkan lagi serinya, penampilan Puteri raja berusia 37 tahun itu cukup manis dengan sentuhan solekan Wangsivarn dan juga dandanan oleh Sheereen Makeup Studio.
View this post on Instagram
Puteri Fadzilah telah selamat diijabkabulkan dengan Awang Abdullah Nabil Mahmoud Al-Hashimi di Balai Singgahsana Indera Buana, Istana Nurul Iman, di Bandar Seri Begawan, Brunei dalam majlis penuh gemilang.
Melihat kepada busana yang digayakan oleh Puteri Fadzilah, mengimbau kenangan ketika Datuk Seri Bernard Chandran mengadakan pameran istimewanya di Muzium Sultan Abu Bakar, Pekan, Pahang pada tahun 2013.
Ketika itu antara busana yang dipamerkan adalah busana ikonik rekaannya yang digayakan oleh kerabat Diraja dan juga orang kenamaan.
Sememangnya setiap satu busana yang direka oleh Datuk Bernard Chandran memiliki keistimewaan tersendiri. Selain idea yang berbeza dari yang lain, sentuhannya mencetuskan keunikan yang jelas menyuntik aura agung dan mempesona.
+++ Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
@majalahremaja Fuh! Majlis sampai 10 hari eh? Lama juga. Jom kenali Puteri Kedua Sultan Brunei ni. 😍 #infotok #majalahremaja #remaja #remajamalaysia #viralnewsmalaysia #trendingnewsmalaysia ♬ original sound – Majalah Remaja