Penyanyi, Fairuz Selamat baru-baru ini menekankan bahawa gembira adalah kunci utama untuk menjalani hidup yang sihat dan penuh semangat di samping mampu mengekalkan penampilan yang sentiasa segar bak remaja walaupun sudah pun memasuki usia 40 tahun.
Menurut Fairuz Selamat atau nama sebenar Mohd Fairuz Bin Selamat yang juga merupakan bekas ahli kumpulan Q-Face ini, tiada rahsia istimewa atau tip yang perlu diikuti. Namun, beliau percaya amalan untuk menjadi seorang yang gembira setiap hari adalah ‘ubat’ terbaik untuk semua masalah hidup.
“Sebenarnya saya tak ada tip apa pun, cuba awak tengok muka saya yang kedut-kedut ini. Semua itu saya guna sahaja bila muat naik di media sosial tapi saya rasa semua orang perlu sentiasa ‘happy’ dan gembira sebab bila mood kita baik, mesti badan pun sihat”
“Saya juga ambil pendekatan setiap pagi jangan mulakan hari dengan amarah, ini pesanan untuk semua termasuk diri saya. Bila pagi hari walau apa pun yang jadi, cubalah kita mulakan hari dengan senyuman dan kata-kata yang baik dan bila dah buat aktiviti lain dan nak moody suka hatilah tapi jangan pernah mulakan hari dengan amarah sebab nanti ia akan terbawa sampai kesudah,” jelasnya santai ketika ditemu bual oleh REMAJA selepas persembahan Gegar Vaganza musim ke-11 di Auditorium MBSA, semalam.
Jelasnya yang amat menitikberatkan kesihatan mental, apabila seseorang memulakan hari dengan keadaan marah, setiap keputusan yang diambil tidak akan betul, perkataan boleh menjadi kasar dan akal pun turut menjadi kurang menentu.
“Untuk badan pula, macam biasa kurangkan makanan berminyak, gula, garam. Air pula saya kurang minum yang bergula kecuali bila ada
event macam ini ya saya minum ais dan manis sikit. Selain daripada itu saya tak ambil sebab saya dah 40 tahun, jadi penyakit dah mula menghampiri,” ujarnya sambil tertawa.Dalam pada itu, Fairuz turut berkongsi mengenai persembahannya pada minggu kedua yang membawakan lagu Mengusung Rindu nyanyian asal kumpulan Spin.
Walaupun berpuas hati dengan penampilannya malam semalam, Fairuz menekankan bahawa jika diberikan peluang, beliau ingin memberikan yang terbaik dalam setiap persembahan.
Dia juga amat menghargai pandangan daripada pihak juri untuk memperbaiki persembahan pada masa akan datang.
Sementara itu, bercakap mengenai tugasan lagu tema Ceritera, Fairuz bakal menyanyikan lagu Datuk Sheila Majid berjudul ‘Dia’.
“Saya akan cuba cari cara dengan pasukan saya bagaimana nak bawa lagu itu tanpa rosakkan identitinya,” katanya dengan penuh semangat.
Gegar Vaganza 11 yang dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam selama 12 minggu, setiap Ahad.
Kesemua peserta yang masih kekal diadili oleh juri tetap iaitu Hetty Koes Endang, Datuk Syafinaz Selamat dan Datuk Ramli M.S.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.