Siapa kata dengan hanya luangkan masa untuk mendengar dan berbual dapat membantu seseorang melupakan niatnya untuk melakukan sesuatu yang buruk?
Itulah yang berlaku di Cheshire, United Kingdom apabila seorang polis wanita muda berjaya menyelamatkan seorang lelaki yang cuba membunuh diri.
Tindakan yang dianggap sebagai wira tersebut dilakukan oleh anggota Warrington Police iaitu PC Milyard. Menurut laporan anggota polis muda tersebut meluangkan masa untuk mendengar luahan serta berbual dengan lelaki yang cuba terjun daripada sebuah jambatan terletak di Folly Lane, Warrington.
Dan lebih menarik lagi, PC Milyard telah diberikan hadiah sejambang bunga oleh lelaki yang diselamatkannya. Menerusi sebuah foto yang dimuat naik oleh laman Twitter Warrinton Police yang berbunyi, “Semalam, PC Milyard telah membantu seorang lelaki yang cuba membunuh dengan terjun dari sebuah jambatan. Hari ini, lelaki tersebut datang ke balai polis untuk mengucapkan terima kasih di atas pertolongannya”.
BACA: Jangan Putus Asa – Tony Hawak Turut Beri Sokongan Kepada Skater Muda Negara, Fatin Syahirah
Selepas perkongsian dilakukan di Twitter, posting tersebut menjadi tular dalam sekelip mata terutamanya di kalangan netizen di United Kingdom. Sehinggakan ia menerima lebih 14 ribu retweet dan lebih 132 ribu jumlah likes.
Rata-rata netizen memuji tindakan yang dilakukan oleh polis muda ini yang dilihat mempunyai kesungguhan untuk menyelamatkan satu jiwa yang sedang menderita.
Masalah kesihatan mental sememangnya merupakan satu perkara yang perlu ditangani dengan bijak. Tindakan dilakukan PC Milyard merluangkan masa untuk mendengar luahan dan juga bersedia untuk berbual dengan lelaki tersebut turut dipuji.
Antara komen menarik diterima menerusi mesej balas posting tersebut, “semoga tindakan bijak polis muda ini dapat memberikan inspirasi kepada orang lain untuk bersedia mendengar dan meluangkan masa dengan seseorang yang berdepan masalah kemurungan dan ada berfikiran suicidal”.
Difahamkan setiap anggota polis di United Kingdom kini diberikan latihan daripada segi teori dan praktikal untuk berdepan dengan kes-kes seperti ini.
REMAJA berharap agar kes ini boleh juga dijadikan sebagai inspirasi dan pengajaran buat generasi muda di Malaysia. Jangan biarkan ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat yang ada masalah kemurungan berseorangan. Jauhkan diri daripada berdiam diri dan hanya memerhati. Percayalah, pertolongan kita walaupun sekecil mana boleh memberi impak yang cukup besar dalam kehidupan orang lain.
Malah seperti dalam kes ini mampu menyelamatkan nyawa seseorang!
Let them know that we’re always there.