Mood sebak masih dapat dirasakan selepas program konsert tribute Big Stage 2020 berakhir pada jam 10.30 malam tadi.
Banyak perkongsian baharu yang telah kita terima daripada para juri dan peserta mengenai Allahyarhamah Sandra Dianne.
Salah satu yang menarik perhatian REMAJA adalah apabila juri tetapnya, Ajai bercerita mengenai sebuah lagu yang sepatutnya direkodkan bersama Sandra pada tahun lalu, namun tidak kesampaian.
“Ia adalah lagu balada. Kami dah bersetuju dengan Sony Music tetapi keadaan agak kelam-kabut masa itu kerana pertukaran pengurusan.
“Jadi lagu itu ‘diam’ begitu sajalah, tetapi saya tak berikan lagu itu kepada penyanyi lain. Apabila saya cipta lagu, ia adalah ‘custom made’ dan memang untuk penyanyi tersebut. Jadi saya simpannya,” kata Ajai.
Tambah beliau lagu, lagu tersebut berjudul Biarkan Berlalu.
Semasa mendapat tahu berita pemergian Allahyarhamah Sandra pada Jumaat lalu, Ajai mengakui dia turut terkejut apabila kisah Sandra seakan punya kaitan dengan judul lagu tersebut. Malangnya, mereka tiada rezeki untuk merekodkannya bersama.
“Tona suara arwah ini unik, jadi tak semua lagu akan ‘ngam’ dengannya. Jadi kita kena cipta betul-betul mengikut keunikan tona suaranya,” kongsinya lagi pada sidang media selepas program berakhir.
*
Dalam pada itu, Ajai, Dayang Nurfaizah dan Faizal Tahir turut berharap agar kesemua peserta yang masih bertanding dalam Big Stage 2020 untuk kekal fokus dan tidak membiarkan emosi sedih mempengaruhi prestasi mereka pada minggu hadapan.
“Ini adalah soal pertandingan, ini adalah kerjaya. Jangan menangis semasa persembahan nanti kerana ia akan menjejaskan markah kamu.
“Ambil semangat Sandra untuk fokus mental dan fizikal,” pesan mereka.