Kasihan brader ini. Niatnya cuma nak membantu tetapi tak sangka, akhirnya dirinya yang menjadi mangsa kepada orang dibantunya. Kata pepatah, seperti melepaskan anjing tersepit. Itulah nasib seorang remaja apabila terpaksa tanggung kerugian lebih RM10,000 selepas motosikal jenis Y125ZR dan barangan berharga miliknya dilarikan seorang pemuda, kelmarin.
Mohd Haikal Amilrudin, 17, berkata, dalam kejadian kira-kira 9 pagi, dia menumpangkan lelaki berkenaan tanpa menyedari orang yang membantunya melarikan motosikal dan telefon pintar model iPhone 6S serta dompet yang mengandungi dokumen peribadi.
Menceritakan kejadian, Haikal berkata, dia berjumpa dengan pemuda lingkungan 20an berkenaan di hadapan sebuah restoran di bandar ini.“Ketika itu saya baru pulang dari bekerja sebuah premis serbaneka 24 jam. Lelaki itu merayu untuk menumpang dengan alasan kakinya cedera. Saya nampak lelaki itu berjalan terhincut-hincut jadi bersimpati untuk menumpangkannya. Pada mulanya dia duduk di belakang lepas tu beralih tempat sebab alasan kakinya sakit,” katanya.
Menurutnya, selepas bergerak kira-kira 200 meter, lelaki terbabit memberikan alasan untuk turun di sebuah perhentian bas.
“Memang ada rasa tak sedap hati tapi fikirkan kakinya sakit, saya pun turun.Tiba-tiba lelaki itu terus memecut. Saya sempat tarik baju lelaki itu tapi dia berjaya terlepas,” katanya di sini, semalam.
Haikal berkata, semua barangan diletakkan dalam sebuah beg di dalam raga motosikal terbabit. Dia juga mengakui terkilan kerana motosikal nombor pendaftaran CDV 2267 itu baru digunakan selama setahun dan masih berbaki pinjaman. Katanya, lelaki berkenaan memakai jaket berwarna merah hitam dengan fizikal sedikit berisi dan berkulit sawo matang.
“Memang kecewa sebab niat nak membantu tetapi berkesudahan begini. Saya harap sangat motosikal itu ditemui semula sebab itu saja pengangkutan utama untuk pergi bekerja,” katanya telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh pada hari sama.
Pada geng-geng Remaja di luar sana dan kalau ternampak motosikal dengan nombor pendafraran CDV2267, lapor segera ke balai polis ya. Moga brader ini dapat semula motosikalnya yang hilang selain barangan lain yang turut dilarikan perompak tersebut.