Serang Guru Di Sekolah, Peguam Kongsi Pelaku Boleh Didakwa Di Bawah Seksyen Ini

Share

Tular di media sosial perlakuan dua bapa saudara kepada murid yang digantung sekolah  menyerang guru konon tidak berpuas hati dengan tindakan gantung sekolah yang dikenakan terhadap anak saudaranya.

Difahamkan, penjaga menyerang serta mengasari Guru Penolong Kanan Pentadbir (PKP) Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Gunung, Bachok di mana dalam berita ditularkan, pihak sekolah bertindak tanpa mengeluarkan sebarang amaran. Namun guru berkenaan telah menjelaskan bahawa surat gantung sekolah telah diserahkan melalui pelajar terbabit.

Ternyata kisah guru dan pelajar “tidak pernah habis”. Bila berlaku satu kejadian, media sosial menjadi medan melepaskan semua. Namun sebelum kita bertindak di luar kewarasan baca perkongsian dari peguam terkenal, Nor Zabetha dari Tetuan  Nor Zabetha Cinna & Co mengenai pendakwaan yang boleh dikenakan terhadap individu yang menceroboh dan menyerang yang mana kalau di penjara tidak lebih 6 bulan dan denda RM3000 atau kedua-duanya sekali.

Malah kalau ada dua pendakwaan iaitu di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, pelaku boleh dikenakan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2000 atau kedua-duanya sekali.

Jadi berbaloi ke tidak? Fikirlah dengan baik ya!

Nor Zabetha dan rakan kongsi syarikat guamannya, Chinnapalani Devi

Baca perkongsian ditulis oleh peguam terkenal ini.

Tolonglah hormati guru-guru. Mereka adalah tiang dalam sesuatu masyarakat.

Bayangkan kalau mereka ini mogok beramai-ramai. Tidak mahu datang ke sekolah mengajar dek kerana tidak berpuas hati dengan layanan terhadap mereka. Dimarah, diserang ibu bapa, dimaki anak murid, dipersalahkan, diviralkan. Bayangkan kalau mereka tidak mahu lagi turun mengajar?

Mereka perlu hadap pelbagai rintangan. Dari anak murid, dari ibu bapa dan daripada kerajaan pemerintah yang dari semasa ke semasa menukar pelbagai sistem atau kaedah pengajaran.

Pun begitu. Mereka masih tabah. Terus ke sekolah saban hari menghadap kerenah anak-anak kita, menghadap kata-kata marah dan komen kita, mengejar kaedah dan sistem pengajaran yang bertukar ganti mengikut arahan kerajaan pemerintah.

Mereka manusia biasa, ada keluarga dan ada kehidupan. Sama macam kehidupan kita. Mereka juga tahu rasa penat dan kecewa. Mereka juga ada anak-anak sendiri untuk dididik dan dilayan seperti anak-anak kita.

Jadi kepada yang kaki serang, kaki maki, kaki viral insan hebat ini. Tolong, tolong fikir dahulu sebelum bertindak. Jangan sesedap hati.

Bagi kesalahan serangan diperkarangan sekolah terhadap guru berdasarkan video yang sedang tular. Pelaku berkemungkinan boleh didakwa atau disiasat dibawah Seksyen 441 Kanun Keseksaan iaitu pencerobohan jenayah.

Pencerobohan jenayah berdasarkan Seksyen ini berlaku apabila seseorang memasuki kawasan yang bukan miliknya dengan niat untuk menakut-nakutkan atau memalukan. Kesalahan ini boleh dihukum dibawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan iaitu penjara maksimum 6 bulan atau denda tidak melebihi RM3000 atau kedua-duanya sekali.

Selain itu penyerang boleh didakwa dan disiasat dibawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu serangan dengan sengaja menyebabkan kecederaan. Hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2000 atau kedua-duanya sekali.

Saya berharap pihak polis dan pendakwaan dapat menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya supaya kejadian ini tidak berulang. Langsung tidak hormat tenaga pengajar.

Dikongsikan oleh Nor Zabetha.
Jom belajar undang-undang.

 

Published by
Almaswa Haji Che Ros