Serbu Econsave Pula Konon TMJ Nak Belanja, Adakah Penyebarnya Bakal #1 Didakwa Di Bawah Akta Anti Berita Tidak Benar?

Share

Tular di media sosial hari ini mengenai penduduk Johor menyerbu Pasaraya Econsave di Pontian konon Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim  ingin berbelanja selepas berbuat kepada pengunjung di AEON Mall semalam!

Disebabkan ramai tidak menyangka yang TMJ akan berbelanja sebanyak RM3000 bagi satu keluarga sehingga suasana beli belah jadi kelam kabut,  kali ini penduduk Johor berdekatan sudah bersiap sedia meletak barangan di dalam troli masing-masing dan mulai beratur di kaunter supaya apabila pengumaman dibuat, mereka tidak perlu panik seperti semalam. Tapi apa yang menyedihkan, berita TMJ mahu belanja itu satu berita tipu  dan palsu.

Memetik laporan Utusan Online sebentar tadi, lebih 1000 pengunjung berpusu-pusu membanjiri pasaraya Econ Save sejak berita rakaman suara itu tular di media sosial sehinggakan pengurus operasi Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam terpaksa membuat kenyataan rasmi.

Pasaraya di Econsave diserbu penduduk yang mempercayai rakaman suara tular di media sosial sedangkan ianya palsu

 

Orang ramai berpusu-pusu memenuhi pasaraya ini

“Ini berita palsu dan tidak benar. Gambar dan pesanan suara yang ditularkan kononnya Tunku Ismail akan belaja orang ramai di Pasaraya Econsave Pontian adalah tidak benar sama sekali. Pihak kami sudah membuat lima hingga enam kali pengumuman mengenai perkara ini di pasar raya tersebut namun orang ramai masih tidak mempercayainya,” katanya ketika dihubungi.

Mas Imran berkata, ketika ini orang ramai masih tidak bersurai walaupun sudah beberapa kali pengumuman dilakukan memberitahu kedatangan Tunku Ismail itu adalah berita palsu. Jelasnya, pihak polis juga sudah dipanggil untuk meredakan keadaan tetapi orang ramai di situ seperti masih berharap kedatangan Tunku Ismail itu bukan berita palsu.

Persoalannya, adakah individu yang menularkan berita ini tidak mengetahui tentang Akta Anti Berita Tidak Benar  yang telah diluluskan oleh Parlimen dan dipersetujui oleh Yang Di Pertuan Agung, Sultan Muhammad V selaku ketua negara dan berkuat kuasa semalam.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa merasmikan Sambutan Hari Wartawan Nasional 2017-2018 semalam mengumumkan Akta Anti-Berita Tidak Benar berkuatkuasa hari ini selepas mendapat kelulusan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Akta itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 6 tahun dan denda RM500,000 jika sabit kesalahan.

Adakah individu yang suka mempermainkan orang lain melalui media sosial sudah bersedia untuk menjadi orang pertama menghadapi tuduhan ini kerana menyebarkan berita palsu dan fitnah melalui media sosial? Tepuk dada, tanya selera kerana sebelum menyebarkan berita palsu ini di media sosial, anda tentu sudah tahu kerana Rang Undang-Undang ini mula dibacakan di Parlimen sejak bulan lepas lagi.

 

Published by
Almaswa Haji Che Ros