Minggu ini menandakan masuknya minggu ketiga warga negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya menjalani rutin harian di bawah arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Situasi ini telah mengubah norma rakyat memandangkan jumlah kes positif Covid-19 baharu yang secara konsistennya mencatatkan 3 angka pada setiap hari.
Terbaru, Menteri Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada petang tadi mengumumkan bahawa daerah Seremban di Negeri Sembilan pula kini diletakkan di bawah arahan PKPB selepas kes baharu di kawasan tersebut menunjukkan peningkatan beberapa hari kebelakangan ini.
Arahan PKPB akan mula dilaksanakan pada 5 November sehingga 18 November ini di 9 mukim berbeza. Ini termasuklah Ampangan, Seremban, Bandar Seremban, Labu, Rantau, Rasah, Setul, Pantai dan Lenggeng.
Ini bermakna penduduk di 9 buah mukim ini perlu mematuhi arahan yang dilaksanakan di Lembah Klang seperti penutupan sekolah, penurunan jadual perjalanan merentah daerah dan larangan untuk menjalani upacara keagamaan di rumah ibadah.
Menurut tinjauan REMAJA di media sosial, ramai netizen yang menetap di daerah Seremban tertanya-tanya sama ada pergerakan dari Negeri Sembilan ke negeri bersebelahan seperti Selangor dan Putrajaya dibenarkan.
Ini memandangkan jumlah penduduknya yang ramai bekerja di Lembah Klang dan berulang-alik dari kediaman ke tempat kerja masing-masing.
Menurut Datuk Seri Ismail, kerajaan akan membenarkan perjalanan rentas negeri tersebut untuk tujuan bekerja dengan surat perlepasan yang disahkan oleh pihak berkuasa.
“Saya sedar ramai penduduk di Seremban yang bertugas di Putrajaya dan Lembah Klang. Anda hanya perlu mendapatkan surat perlepas daripada majikan,” jelasnya.
Apa agaknya aktiviti yang dibenarkan dan tak dibenarkan dalam musim PKPB? Klik pautan di bawah.