Serlah Elemen Burung Kakak Tua Merah Jambu, Kostum Nasional Miss Grand Australia Cantik Memukau

Share

Dalam  pertandingan ratu cantik, segmen persembahan kostum nasional merupakan salah satu acara penting. Ketika segmen ini, wakil negara dari seluruh dunia memiliki kesempatan untuk menampilkan kostum terbaik yang memiliki mesej tersendiri.

Baru-baru ini Miss Grand Australia 2022, Amber Sydney telah tampil hebat dalam persalinan kostum nasional yang diinspirasikan daripada burung asli negaranya, Kakak Tua Merah Jambu. Saat dia muncul di pentas, rekaan gah yang dipersembahkan siap dengan sayap burung bergerak cukup mempesona.

“Burung kakak tua merah jambu ialah salah satu burung yang paling ikonik dan hebat di Australia. Ia mewakili kuasa untuk membimbing melalui kegelapan, menunjukkan komitmen terhadap perkongsian dan kepentingan keselamatan hidup berkumpulan. Burung cantik ini juga mewakili humor kerana mereka terkenal sangat sosial, comel dan lantang!” kongsi Amber tentang kostum yang digayakannya.

Apa yang menarik tentang kostum ini, Amber tidak membawanya dari Australia sebaliknya ia dihasilkan di Indonesia yang menjadi tuan rumah Miss Grand International 2022. Merupakan hasil rekaan pereka Inggi Kendran, jelas dia berpuas hati dengan apa yang digayakannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ratu Cantik Malaysia Angkut ‘7 Puteri’ Ulek Mayang Di Miss Grand International 2021

Ujar gadis berusia 25 tahun ini, “Kostum yang menakjubkan ini dibuat di Indonesia oleh Inggi Kendran. Warna-warna cerah mencerminkan ciri-ciri semula jadi burung yang menakjubkan, kilauan melambangkan kegembiraan dan keperibadian burung dan unsur-unsur alam semula jadi Australia mewakili keindahan tempat asal burung ini.”

Jika tahun lalu, Malaysia memenangi Kostum Nasional Terbaik, adakah Australia berperluang memenangi gelaran tersebut tahun ini? Sama-sama kita saksika di acara akhir nanti. Malam finale Miss Grand International yang ke-10 akan berlangsung pada 25 Oktober 2022.

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fiezreen