Kesesakan lalu lintas di Lembah Klang terutamanya pada waktu puncak bukan lagi satu isu baharu. Sekian lama sejak era 80-an lagi; isu ini telah menjadi perdebatan biarpun pada waktu itu, jumlah kenderaan di jalan raya tidaklah sesesak sekarang.
Terpanggil untuk mengulas tentang isu ini, Ketua Pegawai Eksekutif Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Mohd. Rani Hisham Samsudin telah menyuarakan pendapatnya menerusi ciapan berbunyi, “Pengangkutan awam seperti tren komuter antara pengangkutan yang jika digunakan secara maksimum mampu membantu mengurangkan kesesakan jalan-jalan di Lembah Klang.”
Beliau menambah, “Sikap pengguna yang enggan menggunakan pengangkutan awam itu turut memberi kesan kepada rangkaian tren komuter KTMB yang sehingga kini kapasiti setiap tren yang beroperasi tidak penuh,” menerusi akaun Twitter rasmi KTM Berhad.
Penggunaan perkhidmatan KTM Komuter masih rendah dan tidak dioptimumkan sepenuhnya. Jika orang awam mengoptimumkan penggunaan kemudahan pengangkutan awam terutamanya tren, kesesakan jalan raya boleh dikurangkan.
— KTMB 03 2267 1200 (@ktm_berhad) May 30, 2022
Kenyataan tersebut sekaligus menjadi topik perdebatan daripada pihak warganet yang rata-rata merupakan pengguna harian KTM. Buat mereka, masih timbul pelbagai isu yang perlu diselesaikan oleh KTM Berhad terutamanya pada waktu puncak sebelum mereka ‘layak’ untuk memberi seruan sedemikian rupa.
Antara isu yang dikeutarakan termasuklah jarak tempoh ketibaan tren yang ada kalanya berbeza hingga setengah jam atau sejam, papan informasi servis tren yang tidak mempunyai sebarang – well – informasi terkini, tren yang kadangkala terberhenti di sesetengah stesen (atau lebih perit lagi, di tengah-tengah trek) sedangkan aliran yang dituju tidak disambungkan daripada situ dan banyak lagi isu lain.
Paling membuatkan ramai pengguna hilang motivasi untuk menaiki KTM tentulah disebabkan waktu menunggu ketibaan yang kadangkalanya dianjak secara keterlaluan dengan tiba-tiba. Ditambah pula dengan isu kekerapan tren yang kurang jika dibandingkan dengan perkhidmatan awam lain seperti LRT dan MRT yang lebih boleh dipercayai dalam bab ini.
Menjawab aduan tersebut, Mohd. Rani berkata, frekuensi (KTM) akan ditambah baik dan dijangka bakal mencapai tujuh minit bagi setiap satu tren yang tiba di stesen berbanding sekarang iaitu sekitar 30 ke 45 minit bagi setiap satu tren.
Err, boleh percaya ke ni?
Harapnya, perancangan yang disebut KTM hanya boleh direalisasikan sepenuhnya dalam masa lima tahun akan datang ini tidak hanya menjadi janji manis syarikat tersebut.
Bukan apa, nanti rakyat pun akan hilang kepercayaan sepenuhnya jika faktor sepenting kekerapan tren yang sampai tidak diselesaikan hingga bila-bila.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.