Siri rancangan kanak-kanak ini pasti menggamit memori kan? Penulis pun membesar dengan karakter popular seperti Big Bird, Elmo dan Cookie Monster. Menerusi karakter-karakter ini, rancangan tersebut banyak membantu golongan kanak-kanak terutamanya pendidikan.
Terbaru rancangan televisyen ini telah memperkenalkan dua watak kanak-kanak Rohingya bagi membantu ribuan pelarian anak-anak mengatasi trauma dan kesan pandemik di penempatan pelarian terbesar dunia di Bangladesh itu.
Menurut Sesame Workshop yang merupakan organisasi di sebalik rancangan televisyen tersebut, karakter adik beradik kembar yang diberi nama Noor dan Aziz Yasmin akan ditampilkan seiring dengan karakter rancangan tersebut yang popular seperti Louie dan Elmo menerusi video pendidikan dalam bahasa Rohingya di kem pelarian itu.
“Bagi kanak-kanak Rohingya, Noor dan Aziz akan menjadi karakter pertama dalam media yang kelihatan dan kedengaran seperti mereka. Dua karakter ini pastinya akan membawa kuasa transformasi bagi pembelajaran yang menyeronokkkan kepada keluarga pada masa bila mereka memerlukannya lebih dari sebelum ini,” ujar Sherrie Westin yang merupakan Presiden Impak Sosial di Sesame Workshop.
Dengan pengenalan dua karakter ini, pelarian kanak-kanak Rohingya akan mampu untuk kekal berhubung dan kenal dengan asal usul mereka. Program ini juga mendapat sokongan dari BRAC yang merupakan badan bukan kerajaan Bangladesh dalam menyokong pembangunan kanak-kanak Rohingya.
Sumber: Bangkok Post
Sumber Gambar: YouTube Sesame Street International Social Impact & Facebook Sesame Workshop