“Sesungguhnya Ini Adalah Salah Faham…” -Fathia Latiff Tegaskan Hanya Kerani Di Firma Guaman

Share

Pelakon berkaliber, Fathia Latiff tampil menegaskan dirinya hanyalah sebagai seorang kerani di sebuah firma guaman dan bukannya sebagai seorang peguam seperti yang didakwa ramai, sebelum ini.

Menurut pelakon drama popular Ariana Rose itu, penjelasan yang dikongsikan di Instagram miliknya itu bagi meleraikan salah faham yang telah tular di media sosial, selepas dia memuat naik foto sedang bekerja baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Banggakan Sabah Sebagai Negeri Kelahiran Penyanyi Berbakat Malaysia, Adam Shamil Punya Impian Besar

“Saya ingin menegaskan bahawa saya bertugas sebagai kerani di sebuah firma guaman dan bukanlah merupakan seorang peguam bertauliah sebagaimana yang digambarkan dan difahami oleh sebahagian pihak.

“Sesungguhnya ini adalah salah faham yang tidak disengajakan di mana saya telah terlepas pandang,” katanya.

Justeru, Fathia turut memohon maaf sekiranya kapsyen hantarannya sebelum ini telah mencetuskan kekeliruan dalam kalangan warganet.

“Saya memohon maaf kepada semua pihak sekiranya sebarang kenyataan dalam media sosial telah menimbulkan kekeliruan kepada mana-mana pihak,” coretnya lagi.

Sebelum ini, pelakon berusia 35 tahun itu ada memuat naik sekeping foto yang dilihat dirinya sedang bekerja di sebuah pejabat guaman, sehingga menjadi bualan ramai pihak di serata media sosial.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

KREDIT FOTO: Instagram Fathia Latiff

Published by
Fath