Setelah 14 bulan menabur bakti kepada rakyat Malaysia, Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Bersepadu Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) 2.0 akhirnya bakal melabuhkan tirai operasinya pada 8 Februari ini.
Terdahulu, kewujudan PKRC MAEPS 2.0 ini adalah merupakan salah satu langkah proaktif KKM bagi memastikan kesiapsiagaan hospital menangani virus COVID-19 sentiasa berada di tahap optimum. Bilangan katil terus dipertingkatkan sejak akhir tahun 2020, di mana wabak pandemik ini semakin menular di negara kita.
BACA: Sedia Sedia Terima Pesakit COVID-19, KKM Tambah Jumlah Katil Di Pusat Kuarantin MAEPS
Menurut BERNAMA, sepanjang tempoh itu, PKRC MAEPS 2.0 telah merawat kira-kira 166,072 pesakit COVID-19 kategori satu hingga empat. Tinjauan mendapati tiada lagi pesakit, semua kawasan telah pun dinyahkuman dan proses kemas serta pindah sedang giat dijalankan. Kumpulan terakhir pesakit COVID-19 yang menerima rawatan di PKRC itu juga sudah dibenarkan keluar pada 30 Januari lepas.
Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua petugas barisan hadapan dan orang kuat di PKRC MAEPS 2.0 yang terdiri daripada pasukan perubatan, sokongan, teknikal, penyelarasan, pentadbiran, keselamatan, sanitasi dan katering.
Rata-rata rakyat Malaysia juga tidak ketinggalan mengucapkan terima kasih, malah ada yang berkongsi pengalaman kerana mereka juga pernah ditempatkan di pusat kuarantin ini.
Semoga negara kita tidak lagi memerlukan PKRC mega ini dan marilah sama-sama kita berdoa agar penularan wabak COVID-19 ini dapat diatasi dengan segera.
**
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Sumber: (1)