Setelah 14 Hari Tenggelam Di Sungai Aare, Mayat Emmeril Khan Mumtaz Akhirnya Ditemui

Share

Berita lemasnya Emmeril Khan Mumtaz pada 26 Mei 2022 mengejutkan seluruh penduduk Indonesia. Emmeril atau lebih mesra dikenal sebagai Eril merupakan anak kepada Gabenor Jawa Barat, Ridwan Kamil.

Kejadian malang yang terjadi kepada Eril di Sungai Aare yang terletak di Bern, Switzerland menjadi sorotan utama berita-berita Indonesia lantaran popularitinya yang berada dalam keluarga pemerintah.

Eril yang merupakan anak sulung kepada pasangan Ridwan Jamil dan Atalia Praratya bakal menginjak usia 23 tahun pada 25 Jun akan datang sekiranya dia masih hidup. Kedatangan allahyarham ke Switzerland bersama keluarganya dengan niat untuk mendaftar pengajian di peringkat ijazah sarjana bertukar tragedi apabila dia dibawa arus deras Sungai Aare ketika berenang bersama adiknya dan sahabat mereka.

Pencarian yang dilakukan oleh pihak mencari dan menyelamat menemui jalan buntu. Oleh itu, keluarga allahyarhan dengan sendiri membuat perkiraan dan mengumumkan berita kematiannya sebelum mayat ditemui setelah merujuk kepada Majelis Ugama Indonesia.

Namun kuasa Allah menentukan segala-galanya. Pada 8 Jun 2021 setelah 14 hari tenggelam dibawa arus, mayat Eril ditemui timbul di bahagian empangan air Engehalde yang terletak kira-kira enam kilometer dari tempat dia mula-mula tenggelam dibawa arus.

Dalam satu berita yang disiarkan, pengesahan mayat yang dijumpai itu sebagai Eril dilakukan setelah DNA sepadan dengan DNA Ibunya. Bahkan, Atalia sendiri memuat naik berita tersebut di laman instastory miliknya dengan luahan kata, “DNAnya sudah dinyatakan sama dengan saya. Innalillahiwainailaihirojiun.”

Ketika hidup Eril terkenal sebagai seorang pemuda yang pintar dan juga berwawasan serta suka melakukan kerja-kerja amal. Dia merupakan pengasas kepada pertubuhan bukan kerajaan, Jaber Zillennial (Jawa Barat Bergerak Zillenial) yang bertindak sebagai satu wadah untuk anak muda Jawa Barat berkolaborasi dan melakukan aktiviti berkaitan kemanusiaan dan pendidikan.

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fiezreen