Setelah 457 Hari Tanpa Covid-19, Brunei Catat 8 Kes Baharu

Share

Seperti yang kita sedia maklum, Brunei Darussalam merupakan sebuah negara yang berjaya dalam mengekang penularan kes Covid-19. Lebih dari setahun negara tersebut tidak mencatatkan sebarang kes positif, aktiviti harian kerajaan, perniagaan serta aktiviti rakyat berjalan normal seperti sebelumnya.

Namun begitu, kelmarin Kementerian Kesihatan Brunei telah melaporkan terdapat lapan kes baharu Covid-19 di negara itu setelah lebih 457 hari bebas virus tersebut. Tujuh kes merupakan kes tempatan dan satu kes merupakan kes import. Dengan penambahan kes ini, Brunei setakat ini mencatat hanya 347 kes sepanjang pandemik tersebut melanda dunia.

“Lima kes terbaru ini iaitu kes 340 hingga kes 344 didapati memiliki kaitan dengan pusat pemantauan di negara ini. Lima kes ini tidak memiliki sejarah perjalanan ke luar negara dalam masa beberapa bulan sebelumnya. Kluster ini dipercayai terdedah salah seorang kes import yang tiba di Brunei Darussalam,” lapor Menteri Kesihatan Brunei, Dr Isham Jaafar.

Difahamkan lima individu dari tujuh kes tempatantersebut telah menerima sekurang-kurangnya satu dos Covid-19, manakala dua lagi belum menerima suntikan. Mereka berusia di antara 24 sehingga 54 tahun.

Manakala untuk kes ke lapan iaitu kes import melibatkan lelaki berusia 37 tahun yang tiba di negara itu pada 30 Julai 2021 dari Timur Tengah melalui Kuala Lumpur dengan menaiki penerbangan Diraja Brunei B1847 telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

P/S – Pesanan untuk pembaca, sudah lengkap vaksinasi tidak bermakna anda tidak akan dijangkiti. Tujuan vaksinasi adalah untuk mengurangkan kesan yang bakal diterima sekiranya anda dijangkiti sekaligus membantu menyelamatkan nyawa anda.

 

Published by
Fiezreen