Dua hari lalu, negara digemparkan dengan satu kisah yang menjadi viral yakni kisah seorang pelajar tahfiz, Syed Khairun Hazim bin Syed Husain, 13 yang nekad lari dari maahad tahfiz pengajiannya akibat tidak tahan dibuli pelajar senior.
Dia bukan saja dipukul di perut, disepak di belakang badannya sehinggakan, pemeriksaan lengkap di Hospital Kuala Kubu Bharu selepas kejadian ini mendapati ada koyakan pada tisu pinggang selain masalah yang sama di betis kaki kanannya.
Remaja menemui Hazim, remaja yang menjadi mangsa buli ini di Maahad Tahfiz Al-Kholidi, Hulu Yam di rumahnya di Bukit Beruntung, Hulu Selangor petang tadi.
Kesan lebam pada kakinya masih kelihatan. Cuma di bahagian pinggangnya sudah kurang jelas tetapi “hilang” bukan bermakna tidak bermasalah. Hazim juga tampak tenang, mampu bercerita dengan baik tentang kejadian yang menimpanya.
Akui masih trauma dan sesekali menangis bila teringat kembali bagaimana tubuhnya selalu menjadi mangsa sepakan dan tumbukan dua pelajar senior maahad tahfiz tersebut, Hazim akui dia masih belum mahu memikirkan hendak bersekolah di mana selepas ini. Kebetulan cuti sekolah bermula Sabtu ini adalah ruang untuk keluarganya memikirkan di mana persekolahan terbaik untuk anak sulung ini.
Kejadian ini bukan saja trauma pada dirinya tetapi keluarganya juga begitu. Dalam pertemuan itu, ibu mangsa, Nurul Amiza binti Zakaria, 36 tahun berkata, keluarganya tidak teragak-agak mengambil tindakan saman kepada pelajar terlibat.
“Sebagai keluarga, saya tidak menghantar anak ke maahad untuk menjadi mangsa buli sebaliknya anak ke sana kerana minatnya yang mendalam tentang pengajian agama dan dia sendiri mahu belajar.
“Kes ini kalau tidak diteruskan dengan pendakwaan, boleh berlaku kepada pelajar lain. Saya boleh terima lagi kalau tindakan dua pelajar itu marah-marah atau sekadar satu percakapan mulut tetapi apabila dia menyepak dan menumbuk anak kerana tidak ambilkan air dan jubahnya, bagi saya itu tindakan tidak wajar dan harus dihentikan segera,” katanya yang sama sekali tidak menyangka anaknya menjadi mangsa buli. Selama ini dia hanya membaca kisah anak orang lain menjadi mangsa dan kali ini anak sulungnya pula terlibat.
Hazim diganggu setiap hari, adakalanya makan penyepak dan tampar…
Pusat tahfiz yang sepatutnya melahirkan insan berakhlak tinggi dan berbudi pekerti kerana melahirkan insan yang cemerlang dalam agama, sudah menjadi mimpi ngeri apabila ada sebahagian pelajar berlagak samseng membuli orang lain.
Kongsi Hazim, segala-galanya bermula selepas hari ke 43 dia di maahad terbabit. Awalnya dia disuruh mengambil air tetapi dia enggan. Alih-alih satu sepakan tepat di belakang tubuhnya.
Makan minggu, kejadian buli semakin ketara. Setiap hari dia akan diganggu dan adakalanya tumbukan dan sepak adalah mainannya. Sama ada di perut, belakang badan, kaki dan tubuhnya yang lain. Masalah buli tetap sama, disuruh ambil air dan jubah di asrama. Hazim akui rakan-rakan asramanya tahu tentang kes bulinya tetapi masing-masing takut, begitu juga dengan dirinya.
Malah kerana rasa takut jugalah dia tidak mengadu kepada ustaz kerana tidak mahu terus dipukul tetapi ternyata perkiraannya salah. Dia tetap menjadi mangsa buli pelajar senior tersebut.
“Kalau waktu saya ditumbuk itu, seorang pelajar senior akan pegang dan “grip” tangan saya kuat-kuat sebelum seorang menumbuk perut atau menerajang perut. Sakit memang sakit tapi saya tidak mahu menangis di depan mereka,” katanya mengakui akui tidak tahan didera dia nekad lari dari asrama pada jam 4.30 pagi bersama seorang lagi rakannnya, Wan Mohd Arfan yang kebetulan duduk sebaris dengan rumahnya di kediaman sama.
Hazim akui dia sudah lama membuat pertimbangan berkenaan tetapi selepas tidak tahan dibuli da tahu dia boleh “terkujur” jika terus bertahan, dia mengambil satu keputusan nekad.
Cerita Hazim, dia dibekalkan dengan sebuah lampu suluh pemberian rakan asrama dan sudah lebih awal mengemas beg bajunya. Jam 4.30 pagi itu, dia keluar lalu di belakang kantin dan seterusnya memasuki hutan yang gelap gelita.
“Saya memang takut tapi saya lagi takut mati di asrama kerana terlalu kerap kena pukul. Kami terserempak dengan khinzir yang sedang mengais-gais tanah sebelum lari lintang pukang kerana takut. Lebih kurang 5 kilometer perjalanan, saya dan Arfan sudah terlalu letih dan lapar.
“Masa yang sama, ada orang ramai yang bertanya kemana kami hendak pergi selepas kami berjaya keluar dari hutan tersebut,” katanya memaklumkan akibat keletihan, dia sudah tersesat sehingga sampai ke Kampung Pasir, Hulu Yam sebelum ditolong oleh orang ramai yang bertanya ke mana arah tujuan mereka berdua.
Biar ditanya orang ramai arah tujuannya, namun rasa takut masih ada dalam dirinya dan biar ditanya adakah dia mahu ke balai polis atau kembali ke maahad tahfiz itu, Hazim dan rakannya memilih untuk pulang ke rumah sahaja. Dan rentetan dari kejadian nekad lari itulah mula membongkar bagaimana dia sebenarnya dibuli sebelum nekad membuat keputusan bahaya keluar pada jam 4.30 pagi itu.
Dalam pada itu, dari pihak keluarganya, mereka sudah membuat laporan polis, sudah bertemu keluarga pelajar yang membuli dan keluarga tersebut ada meminta agar laporan di tarik balik.
Buat masa ini menurut ibunya, mereka tidak akan menarik semula laporan. Kata Amiza, ketika di balai polis Kuala Kubu Bharu, dia bertemu dengan pelajar yang membuli anaknya, bertanya mengapa kejadian itu dilakukan namun remaja berusia 14 dan 15 tahun itu hanya menunduk seribu bahasa.
“Hati saya sedih. Anak saya bukan kaki bergaduh pun. Malah setiap kali dipukul, dia tidak melawan langsung. Saya menafikan laporan akhbar yang menyiarkan berlakunya pergaduhan sesama mereka malah dalam laporan polis juga tidak menyebut mengenainya,”katanya yang mengakui geram kerana anaknya menjadi mangsa buli ini.
Tidak mahu terus menyalahkan sesiapa biar wujud “kekurangan” kerana kurang pengawasan terhadap pelajar, Amiza berkata, dia sendiri belajar dari pengalaman biarpun sebelum ini ibu bapa diwar-warkan tentang keselamatan pelajar yang terjamin ketika di pusat tahfiz ini.
Ternyata masalah buli di kalangan remaja terus wujud kerana masing-masing mahu membuktikan siapa lebih kuat. Ternyata isu buli ini harus dibanteras dan tidak wajar berlaku di kalangan pelajar sekolah.
Saksikan video ini saat di mana Hazim bercerita dia selalu dipukul pelajar seniornya.
https://youtu.be/AfYfqOSk1zU