Berita

Setiap Perbualan Bakal Dirakam, PDRM Mula Guna Kamera Badan Oktober Ini

Share

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dijangka mula menerima 7,648 unit kamera badan (BWC) secara berperingkat mulai September tahun ini hingga Februari 2025.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis Giat Cari Pasangan Berbaju Raya Biru, Lakukan Aksi ‘Wheelie’ Di Kota Bharu

Penerimaan itu adalah berdasarkan Surat Setuju Terima (SST) yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) semalam.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, berkata BWC adalah untuk penugasan Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di bawah JPJKK, selain akan diperluaskan untuk penugasan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT).

“Ia (BWC) akan ditempatkan di 157 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan 640 balai polis di seluruh kontinjen dan penggunaannya adalah secara berperingkat mulai Oktober 2024.

“Pada masa ini, kita menjangkakan BWC akan digunakan sepenuhnya oleh petugas MPV dan URB pada Mac 2025.

Bagi memastikan semua petugas MPV dan URB mahir dalam mengendalikan BWC, latihan penggunaan akan dilaksanakan mulai Mac 2025 hingga Disember 2025,” katanya.

Wan Hassan berkata, PDRM akan ke hadapan sebagai agensi tunggal keselamatan awam negara ini dalam penggunaan teknologi terkini, selaras dengan kepolisan moden.

“Selari dengan perkembangan teknologi dan penugasan kepolisan yang semakin mencabar, adalah menjadi harapan kita supaya penggunaan BWC akan dapat meningkatkan tatakelola yang baik dalam penugasan rondaan pencegahan jenayah dalam kalangan petugas MPV dan URB.

“Dengan tersematnya BWC di pakaian seragam polis, ia akan meningkatkan lagi hubungan dan kerjasama orang awam dan polis kerana setiap perbualan mereka dirakam,” katanya.

Beliau berkata, pengunaan BWC akan menaikkan lagi imej PDRM dalam kalangan masyarakat kerana rakamannya boleh dijadikan bukti di mahkamah dan di dalam sebarang kes jenayah, termasuk kes membabitkan petugas difitnah ketika menguatkuasakan undang-undang.

Terdahulu pada 17 Januari, seorang anggota polis didakwa di Mahkamah Sesyen atas empat pertuduhan termasuk merogol remaja perempuan warga Uzbekistan berusia 17 tahun dalam kenderaan peronda polis (MPV).

Lans Koperal Muhammad Fazrul Razzi Yunus, 31, turut berdepan pertuduhan berasingan kerana melakukan peras ugut ke atas remaja berusia 17 tahun yang juga teman lelaki warga Uzbekistan itu, bersama seorang anggota lain, Konstabel Muhammad Adib Aikal Sharul Nizam, 24, di mahkamah berasingan.

Muhammad Fazrul yang juga bapa kepada dua anak mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Norshila Kamaruddin.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa merogol, melakukan amang seksual fizikal, persetubuhan bertentangan aturan tabii dan hubungan seks ke atas remaja terbabit tanpa kerelaannya.

BACA LAGI: Datuk Nicol David Atlet Berpendidikan Tinggi, Rajin Timba Ilmu Walau Dah Bersara!

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER FOTO: BH

 

 

Published by
Adriana Syaurah