“Mungkin Terlalu Baru Untuk Malaysia Pandang..” Bakat Shaza Bae Diiktiraf Dahulu Akademi Luar

Share

Bulan Oktober tahun ini telah membawakan perkhabaran manis buat Shaza Bae setelah pelakon dan pengacara tinggi lampai itu diumumkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Malaysia) bagi Asian Academy Creative Award menerusi drama Nusyuz Berkiblat Cinta.

Ia sekaligus melayakkan Shaza, 27 untuk bertanding di Grand Awards yang dijadualkan berlangsung di Singapura pada 7 dan 8 Disember.

Turut bertanding kelak ialah juara Hero Remaja 2020, Nadhir Nasar yang memenangi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Malaysia); juga menerusi Nusyuz Berkiblat Cinta.

ARTIKEL BERKAITAN : Watak Sampingan Pun Boleh Beri Kesan! Nadhir Nasar Diiktiraf Asian Academy Creative Awards – REMAJA

Shaza Bae

Bercakap kepada REMAJA semasa dihubungi baru-baru ini, juara Dewi Remaja 2019 ini menyifatkan pemilihan akademi tersebut sebagai satu kejutan manis.

Tambahan pula, Shaza baru mengetahui para pemenang yang pernah mewakili Malaysia pada edisi terdahulu rata-rata terdiri daripada nama-nama besar Bront Palarae (2020, The Bridge), Eyka Farhana (2020, Pretty Little Liars), Miller Khan (The Bridge, 2020), Kamal Adli (2021, Black), Siti Saleha (2021, Black) dan Nabila Huda (2021, Black).

ARTIKEL BERKAITAN : Karya Malaysia Gah, Menang 4 Kategori Termasuk Pelakon & Filem Terbaik! – REMAJA

Justeru, Shaza yang baru bertapak sebagai pelakon selama tiga tahun katanya masih sedang memproses kejayaan mengenepikan pelakon wanita Malaysia lain bagi kategori watak pembantu.

“Saya pun tidak tahulah bagaimana hendak gambarkan perasaan selepas terima panggilan telefon memaklumkan berita gembira ini.

“Berbanding saya dan Nadhir Nasar, ramai pelakon yang jauh lebih berpengalaman. Tidak sangka pula anugerah pertama yang saya menangi selepas Dewi Remaja adalah anugerah antarabangsa. I’m honestly still processing,” kongsinya yang juga merupakan pengacara program hiburan HLive.

Soal ‘naik bayaran’ selepas kemenangan ini katanya lagi langsung tidak terlintas di kepala. Sebaliknya, Shaza semakin merasai beban tanggungjawab yang dipegang sebagai seorang pelakon dalam merealisasikan watak-watak lain selepas ini.

“Dalam apa jua yang saya lakukan, saya mengambil kerja saya secara serius. Saya cuba tingkatkan kualiti dan berikan 200 peratus usaha serta komitmen saya. Kemenangan ini bagi saya merupakan satu bentuk penghargaan dan juga petanda bahawa saya perlu terus mengekalkan momentum bagi projek-projek seterusnya.

“Terasa berbaloi ‘kena pukul’ dengan (watak) Nadhir dalam drama Nusyuz Berkiblat Cinta. (Ketawa) Kerja keras untuk merealisasikan sesebuah babak itu tidak sia-sia apabila ia berjaya menghasilkan suatu perasaan dalam diri penonton.”

Shaza Bae dan gandingannya dalam drama Nusyuz Berkiblat Cinta, Nadhir Nasar. FOTO: Instagram Shaza Bae

“Tipulah kalau saya kata, it doesn’t feel nice to be appreciated. I am smiling kerana merasakan penghargaan ini ada sesuatu yang manis untuk dikecapi oleh mana-mana insan berdarah seni,” tambahnya.

BACA LAGI : Gandingan Hebat Dalam Nusyuz Berkiblat Cinta, Shaza Bae Akui Selesa Berlakon Bersama Nadhir Nasar – REMAJA

 

Apresiasi Orang Luar Hadir Lebih Awal

Meneliti pada graf kejayaan Shaza dalam acara anugerah, nasib tidak selalu menyebelahi Shaza apabila namanya tercalon dalam mana-mana kategori anugerah tempatan yang mengiktiraf kuasa undian peminat. Antaranya termasuklah pencalonan awal yang diterimanya bagi Anugerah MeleTOP Era 2021 dan Anugerah Bintang Popular BH ke-34.

Sebaliknya, Shaza Bae terlebih dahulu dihargai bakat dan kehadirannya oleh barisan juri acara anugerah antarabangsa seperti Asian Academy Creative Awards 2022. Ia sekaligus membuka persoalan sekiranya Malaysia masih keterbelakang apabila menghargai insan berbakat.

Dengan tenang, Shaza memilih untuk tidak menunding jari terhadap industri mahupun penonton di Malaysia. “Mungkin masih terlalu baru untuk Malaysia pandang dan kenali bakat serta potensi yang ada pada saya. Saya sedar saya masih baharu. Dan apabila tiba bab undian peminat, honestly

saya memang tidak letakkan sebarang expectation dan sentiasa berfikiran positif.”
FOTO: Instagram Shaza Bae

“Cuma mungkin dengan kemenangan bakat muda seperti Nadhir dan saya pada tahun ini, Malaysia akan terus mengutamakan bakat sebagai aspek pertama. Saya dan rakan-rakan yang lain insyaAllah akan terus ikhlas melakukan yang terbaik dalam menghiburkan anda,” katanya.

Di samping itu, Shaza juga memasang harapan agar industri seni tanah air akan terus menawarkan lebih banyak peluang buatnya dan rakan-rakan selebriti ‘BBNU’ lain untuk membuktikan Malaysia hakikatnya tidak kekeringan bakat untuk dipertaruhkan merentasi persada yang lebih besar selepas ini.

BACA LAGI : “Masalah Generasi Muda Sekarang, Semuanya Nak CEPAT..” – Shaza Bae – REMAJA

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Published by
FZ