Walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, sebagai petugas media, Shaza Bae tidak boleh melepaskan tanggungjawabnya sebagai seorang hos HLive dan dia masih menjalankan tugasnya seperti biasa.
“Selepas tiga minggu bercuti kerana mengikuti trip bekerja ke Brazil, Shaza kini sudah mula masuk bertugas di studio. Selepas pulang dari luar negara, Shaza perlu dikuarantin selama 2 minggu kerana risau dengan wabak COVID-19. Shaza telah pun melakukan test tersebut di salah sebuah hospital swasta di Damansara dan Alhamdulillah, keputusannya adalah negatif,” jelas Shaza yang berkongsi pengalamannya selepas pulang dari Brazil.
“Sewaktu bertugas di studio, kami tidak langsung dibenarkan untuk membuat sebarang body contact. Jurusolek yang mendandan Shaza pun menggunakan berus spesifik untuk Shaza sahaja. Hand sanitizer sentiasa wajib ada bersama. Malah, semasa pengacaraan juga hos diminta untuk menjaga jarak. Keadaan di Astro tidak sama seperti sebelum ini. Hanya pekerja produksi yang terlibat sahaja dibenarkan masuk ke bangunan tersebut,” sambungnya lagi.
Sepanjang dua minggu dikuarantin, banyak aktiviti yang dapat dilakukan oleh Juara Dewi Remaja 2019 ini jika hendak dibandingkan dengan sebelum ini.
“Kalau dulu Shaza tidak banyak masa untuk memasak, sekarang ni boleh dikatakan hari-hari Shaza akan masak. Kemas rumah pun sekerap yang mungkin. Hari-hari vacuum rumah. Hehe! Shaza juga memang seorang yang suka membaca, jadi waktu terluang beginilah dihabiskan untuk meneruskan hobi ini,” kata Shaza.
Ditanya bagaimana kehidupannya sepanjang tempoh PKP berlangsung, anak gadis ini tidak terkecuali daripada terpaksa membatalkan sebarang job lakonan dan modeling yang ada.
“Tidak dinafikan banyak job yang terpaksa dibatalkan ekoran daripada situasi sekarang. Tetapi, Shaza bersyukur kerana masih mempunyai pendapatan tetap, iaitu mengajar.
Walaupun dalam PKP, Shaza masih perlu untuk melakukan pembelajaran bersama pelajar secara online. Selain itu, Alhamdulillah Shaza mempunyai sedikit simpanan yang boleh digunakan sepanjang tempoh PKP ini. Tidaklah banyak, tetapi boleh juga menampung kehidupan seharian,”
“Shaza juga ingin menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk stay at home kerana ini sahaja langkah yang boleh dilakukan untuk memutuskan rantaian wabak tersebut. Bagi yang perlu bekerja, pastikan korang memberikan penjagaan ekstra dengan sentiasa memakai hand sanitizer dan pastikan balik sahaja rumah, terus mandi bersihkan diri. Semoga penularan wabak ini berakhir dan kita boleh hidup seperti dahulu semula,” sambungnya lagi.
Begitulah pengalaman Shaza Bae yang dapat dikongsi bersama Remaja. Kami juga doakan agar Shaza dilindungi ketika berkerja di luar sana. Korang pun stay home dan stay safe ya. Jangan keluar rumah kalau tiada urusan penting!