Pelumba berbasikal trek kebangsaan, Muhammad Shah Firdaus Sahrom semalam memaklumkan rakan saingannya dari Jepun iaitu Shinji Nakano terkejut apabila menerima kecaman hebat di platform media sosial daripada warganet Malaysia.
Ini berikutan pelanggaran yang berlaku di antara Shinji, Shah Firdaus dan pelumba Great Britain, Jack Carlin dalam acara akhir keirin lelaki di Sukan Olimpik Paris 2024 sekaligus merobek peluang Malaysia mengggenggam pingat gangsa ketiga.
Akibat pelanggaran berkenaan, Shinji dipersalahkan oleh warganet Malaysia apabila ribuan komen menyinggah ke akaun Instagram miliknya dengan kata-kata kesat.
Memetik temubual Shah Firdaus dengan Berita Harian, beliau berkata Shinji keliru dengan sentimen rakyat Malaysia yang pada asalnya dianggap sebagai warganegara yang baik tutur kata dan budi perketinya.
“Yang buat saya terasa, dia ingat orang Malaysia baik-baik sebab saya baik dengan dia. Kalau saya ke Jepun, dia bawa saya jalan semua. Bila dia merasa begitu, saya rasa serba salah.
“Dia mesej saya, dia ingat rakyat Malaysia baik-baik. Saya macam, malunya,” luah Shah Firdaus.
Tambah pelumba berusia 27 tahun itu, sememangnya insiden pelanggaran dan jatuh dari basikal adalah perkara normal dalam acara keirin dan insiden yang terjadi di final Sukan Olimpik itu tidak disengajakan.
“Bila ada body contact, G-Force itu nampak seperti dia naik tetapi dalam keirin benda itu biasa. Tinggal jatuh atau tidak sahaja.
“Sebenarnya dia tidak berniat pun nak ‘hentam’ saya. Itu disebabkan G-Force,” katanya lagi.
Sebagai rekod, rakan seperjuangan Shah Firdaus iaitu Dato’ Azizulhasni Awang gagal melepasi pusingan awal selepas penyertaannya dibatalkan oleh pihak komisar.
Malaysia sekadar membawa pulang dua pingat gangsa menerusi beregu badminton lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan pemain perseorangan badminton lelaki, Lee Zii Jia.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.