Si Pembuli Daripada Keluarga T20 Sekalipun, Tak Patut Ada ‘Deal Pintu Belakang’ – Peguamcara Jenayah

Share

Kejadian buli dalam kalangan pelajar yang dilaporkan berlaku di sekolah berasrama berprestij, Malay College Kuala Kangsar baru-baru ini telah mendapat pelbagai reaksi negatif daripada netizen setelah ia dibongkarkan oleh keluarga mangsa buli.

Untuk meredakan keadaan, semalam Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) MCKK menerusi hantaran di Facebook PIBG sekolah berkenaan bertindak menyelar tindakan ahli keluarga mangsa buli yang menularkan kejadian buli tersebut kerana dianggap memberi imej buruk kepada MCKK.

Menurutnya, pihak keluarga sepatutnya membiarkan pengurusan sekolah menyelesaikan kejadian. Malah, PIBG MCKK juga berkata ia menghormati pendirian pihak sekolah dan pengetua yang tidak tunduk kepada ancaman yang diberikan oleh sekumpulan ibu bapa murid tingkatan 4.

Hal demikian, sebilangan netizen di beberapa platform media sosial beranggapan pihak PIBG sekolah berkenaan tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana dianggap membenarkan kejadian buli ‘disembunyikan’ daripada pengetahuan umum demi menjaga nama baik sekolah serta ahlinya.

Sumber Foto Hiasan: Facebook Malay College Kuala Kangsar (MCKK)

Memetik temubual di antara Mingguan Wanita dan Peguamcara Jenayah, Johan Radzi bin Ahmad Zahar pada hari ini susulan respon netizen semalam, beliau menegaskan bahawa semua pihak harus bertinda mengikut prosedur sewajarnya apabila timbul kes berat seperti kejadian buli di sekolah.

“Sepatutnya tidak (wajar ada budaya menyelesaikan kes buli secara pintu belakang seperti yang didakwa oleh ahli keluarga mangsa buli di MCKK) sebab dalam Perlembagaan Persekutuan telah dinyatakan bahawa semua orang dipandang sama rata di hadapan undang-undang.

“Itu yang sepatutnya, secara idealnya begitulah.

“Tetapi secara praktiknya, mungkin di lapangan; walaupun undang-undang menyatakan bahawa semua orang setara tetapi mungkin bagaimana kita menafsirkan atau kita mengaplikasikan undang-undang itu mungkin berbeza-beza.

“Dalam kes ini, ada ura-ura yang mengatakan bahawa murid pembuli tersebut mungkin datang daripada keluarga VIP atau keluarga T20. Pun begitu, ia tidak sepatutnya dibiarkan.

“Tidak kisahlah dari mana pun asal-usul si pembuli atau betapa tingginya pangkat keluarganya, tindakan buli adalah satu jenayah. Tindakan memukul orang adalah satu jenayah dan patut dibacarakan di mahkamah,” katanya lagi.

ARTIKEL BERKENAAN: Diasaskan Oleh Empat Sultan Melayu, Ini 10 Individu Popular Malaysia Yang Merupakan Bekas Pelajar MCKK – REMAJA

Terdahulu, tular di laman Instagram pada Jumaat minggu lalu (3 November) berhubung seorang pelajar sekolah yang dimasukkan ke hospital akibat dibuli pelajar senior di sebuah sekolah di Kuala Kangsar.

Turut tular sepucuk surat rayuan terhadap keputusan hukuman displin terhadap pelaku-pelaku yang diminta bekelakuan baik, dirotan dan membuat kerja amal di sekolah.

Bagaimanapun, ahli keluarga mangsa buli pada hari ini (7 November) merasakan hukuman yang dikenakan tidak memadai dengan kecederaan yang telah mereka akibatkan terhadap mangsa. Ahli keluarga mangsa juga meminta agar keadilan dilaksanakan dalam kes ini dan ingin pelaku-pelaku dibuang daripada MCKK.

ARTIKEL BERKENAAN: 10 Pelajar Terlibat Kes Buli Ditamatkan Pengajian Daripada MRSM – REMAJA

 

Jika Dihadapkan Di Mahkamah Kanak-Kanak

Bagi korang yang tertanya-tanya bagaimanakah kes bulit dibicarakan di peringkat perundangan, Johan berkongsi bahawa kebiasaannya pesalah atau pembuli akan dihadapkan di Mahkamah Kanak-Kanak di mana pihak mahkamah akan memberikan beberapa pilihan kepada pesalah yang telah disabitkan.

Antaranya seperti hukuman menghantar mereka ke sekolah Henry Gurney, dikenakan hukuman khidmat masyarakat (community service) atau dikenakan bon kelakuan baik di mana pesalah akan dilepaskan dengan jaminan atau syarat harus berkelakuan baik untuk satu tempoh tertentu seperti 2-3 tahun di bawah pengawasan.

Tidak ketinggalan, hukuman penjara boleh dikenakan ke atas pesalah sekiranya jenayah yang dilakukan itu berat. Begitupun menurut Johan, mahkamah akan sentiasa cuba mengelakkan daripada mengenakan hukuman penjara kerana khuatir kesan buruk kepada pembesaran pesalah apabila bergelar banduan bawah umur.

BACA LAGI: Elak Kes Buli Berlaku, ‘Spotcheck’ Mengejut Dilaksanakan Di Sekolah Berasrama – REMAJA

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ