Jika ada keinginan yang kuat berserta bakat, seseorang itu pasti akan mencapai kejayaan biarpun masih berada pada usia belasan tahun.
Inilah yang berlaku kepada seorang pelajar sekolah rendah yang masih berusia 11 tahun ini.
Dikenali sebagai Maryam Muzamir, namanya mula diperkatakan sejak Ogos lalu setelah dia memenangi tiga pingat emas menerusi pertandingan inovasi dan reka cipta yang dilangsungkan di Toronto, Kanada.
Pertandingan yang disertai pelajar Sekolah Kebangsaan (P) Methodist Kuantan, Pahang ini adalah bersempena acara The 6th International Invention, Innovation Competition (iCAN) 2021. Ia merupakan pertandingan inovasi dan reka cipta terbesar di benua Amerika Utara. Cumanya kali ini, ia terpaksa dilangsungkan secara atas talian disebabkan pandemik COVID-19.
Maryam mendapat dorongan ayahnya untuk menghantarkan penyertaan ciptaan yang dinamakan sebagai YAM 2.0 ke acara iCAN dan hasilnya, tiga emas berada dalam genggamannya! Ini termasuklah kategori Canadian Special Award dan Best Young Inventor Award.
Bukan saja Maryam mengenepikan 600 peserta lain dari 70 negara, dia juga menjadi pemenang termuda dalam pertandingan tersebut.
Hasil kejayaan membanggakan ini, pengacara program temu bual lewat malam popular Amerika Syarikat, James Corden telah tertarik dengan ciptaan YAM 2.0 oleh Maryam ini lalu memperkatakan mengenainya dalam sebuah segmen semalam.
Kata James, kejayaan Maryam mencipta sejenis makanan haiwan yang diperbuat daripada kulit udang dan siput sedut adalah sesuatu di luar kebiasaan dan amat mengagumkan.
“Maryam Muzamir ialah seorang pelajar sekolah berusia 11 tahun di Malaysia. Dia mengenal pasti fungsi baharu untuk sisa makanan biasa iaitu kerang makanan laut. Dan dia mengolahnya menjadi makanan ternakan baharu (livestock feed) yang berkhasiat. Dia baru berusia 11 tahun! Ya, di Malaysia.
“Dia telahpun memenangi tiga pengiktirafan antarabangsa untuk inovasi bijak ini,” kata pengacara terkenal itu.
Nama Maryam kembali menjadi sebutan setelah sedutan episod itu tular di media sosial dan mendapat perhatian figura penting negara seperti Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah. Menerusi hantaran di Facebook pada hari ini, beliau berkongsi ciapan daripada akaun twitter @latelateshow.
Sementara itu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri juga mengucapkan tahniah kepada Maryam dan berharap agar kejayaannya pada kali ini dijadikan inspirasi kepada bakat-bakat muda di Malaysia yang akan menjadi pemimpin masa hadapan negara.
Seperti yang pernah dilaporkan rakan media, Maryam mendapat idea ciptaan YAM 2.0 ini semasa dia berada di sebuah restoran makanan laut bersama keluarga dan melihat betapa banyakkan sisa kerang yang dibuang. Maryam kemudian membaca artikel yang menyentuh tentang kelebihan kerang untuk dijadikan makanan livestock. Lalu, dia terus mencuba menciptanya sendiri.
Lihat, idea boleh datang daripada mana-mana sumber guys. Yang penting, kita cungkil kreativiti dan perlu ada keinginan untuk melakukannya.