Siapa Bintang Tenis 18 Tahun, EMMA RADUCANU Yang Bakal Jadi Jutawan?

Share

 

Kejayaan pemain tenis remaja yang mewakili Great Britain, Emma Raducanu yang muncul juara kejohanan Tenis Terbuka Amerika Syarikat (US Open) baru-baru ini masih menjadi perbualan hangat dunia sukan.

Bukan saja pemain berusia 18 tahun ini menjadi pemenang Grand Slam pertama yang layak menyertai kejohanan menerusi pusingan kelayakan (selalunya melibatkan pemain pada ranking rendah). Dia juga kini merupakan pemenang Grand Slam termuda di Tenis Terbuka AS sejak 2004.

Sumber Foto : Instagram @emmaraducanu
Sumber Foto : Instagram @emmaraducanu

Sudah lama sebenarnya Great Britain tidak melahirkan seorang pemain tenis yang berpotensi menjadi pemain nombor satu dunia selepas Andy Murray. Lalu, korang boleh bayangkan bagaimana terujanya Great Britain dengan kejayaan Raducanu.

Kali terakhir fenomena mirip ini berlaku adalah semasa pemain tenis wanita AS berketurunan Jepun, Naomi Osaka memenangi kejohanan US Open 2018 ketika berusia 21 tahun.

Setelah Naomi mulai menang di beberapa kejohanan berprestij, dia mula mendapat perhatian jenama-jenama mega seperti Nike yang ingin menajanya. Itulah yang berlaku kepada Raducanu sekarang.

Emma Raducanu kini memiliki 2 juta pengikut di Instagram. Sumber Foto : Instagram @emmaraducanu

Setakat ini, Emma difahamkan telah bersetuju untuk menerima tajaan pakaian sukan daripada Nike. Raketnya pula ditaja oleh Wilson yang membabitkan nilai kontrak lumayan selama setahun.

Bukan itu saja tau.. beberapa lagi jenama mewah seperti Castrore yang pernah menaja bekas juara dunia, Andy Murray sedang mengintai peluang untuk menaja Raducanu.

Selain itu, McLaren (pasukan Formula 1) dan beberapa kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) turut merancang untuk menaja pemain remaja ini.

Dari segi jenama gaya hidup pula, Raducanu dilaporkan telah dirisik Uniqlo (yang sedang menaja Roger Federer), Aston Martin, Chanel, Lacoste, Tiffany & Co dan beberapa lagi jenama.

Wow! Walaupun Emma baru saja menjuarai kejohanan dunia sulungnya, rezeki Emma memang melimpah-ruah akibat populariti mencanak yang dimilikinya sekarang.

Lihat sajalah jemputan yang diterimanya secara tiba-tiba ke acara Met Gala di New York City oleh Chanel pada minggu lalu. Bukan mudah ya untuk menerima jemputan tersebut kecuali jika seseorang itu mempunyai wang yang banyak (kerana Met Gala melibatkan aktiviti kutipan dana bagi muzium Met) atau jika seseorang itu popular.

Emma dijemput ke Met Gala menerusi jenama Chanel. Dia khabarnya telah berborak dengan juara Formula One, Lewis Hamilton di sana. Sumber Foto : Dailymail UK
Emma juga dijemput ke London Fashion Week semalam. Sumber Foto : Dailymail UK

Bukan saja Perdana Menteri Britain, Boris Johnson telah menelefonnya. Pengurus pasukan Liverpool, Jurgen Klopp juga berpendapat Emma Raducanu sebagai ‘bakat terbaik abad ini’ setelah berborak dengannya.

Secara tiba-tiba, Emma menjadi atlet paling popular dunia pada bulan September 2021 selain Cristiano Ronaldo yang kembali ke Manchester United.

REMAJA gembira dengan perubahan hidup yang berlaku kepada Emma ini pada usia 18 tahun. Cuma harapnya, dia tidak akan ‘tenggelam’ dengan tekanan hidup sebagai seorang personaliti popular selepas ini. Teruskanlah menjuarai kejohanan demi kejohanan dalam sukan tenis.

“Saya hanya ingin kamu (remaja yang lebih muda daripadanya) menjadi kanak-kanak dan remaja normal, pergi ke sekolah, miliki benda-benda normal dan masih mampu mencapai cita-cita luar biasa,” katanya kepada Sky Sports.

Sumber : (1) (2)

Published by
FZ