Kala ini pelajar tingkatan lima sedang memerah otak menghadap Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Pastinya pelajar sedang bertungkus-lumus mengulang kaji sebelum berdepan peperiksaan sehingga 28 November akan datang. Bagi SPM fasa kedua ini, hanya tinggal beberapa subjek teras dan elektif perlu mereka hadapi.
Kami tertanya juga, siapa di kalangan finalis pencarian Dewi Remaja 2019 mendapat keputusan cemerlang semasa mereka mengambil SPM dahulu?
Jom kita tanya satu-persatu.
Nur Saidah Shahirah Kamarudin mendapat keputusan 9A aliran Sains dan diangkat sebagai pelajar terbaik SPM di sekolahnya, SMK Meru.
“Saidah masih ingat momen indah ini. Tak sangka dapat 9A kerana ketika peperiksaan percubaan, Saidah dapat 3A.
“Memang last minute pulun belajar dan pernah tak tidur semalam untuk mengulang kaji subjek. Alhamdulillah, bangga dengan result SPM bila keluar. Nasihat Saidah untuk adik-adik yang sedang hadapi SPM, buat yang terbaik dan pastikan segala usaha yang sudah kita lakukan selama dua tahun ini dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.
Dapat belajar di MRSM tapi disebabkan stres..
Aishah Azhan atau mesra disapa Ash memperoleh 6A dalam aliran sains tulen. Keputusan A diperolehi bagi subjek Additional Mathematics, Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Pendidikan Islam dan Fizik. Selebihnya adalah B.
“Jujurnya, menyesal juga tak belajar rajin-rajin dan tak buat bersungguh semasa SPM. Ash pernah belajar di MRSM tapi disebabkan berdepan dengan faktor stres Ash ambil keputusan untuk keluar.
“Bagi Ash, SPM adalah demi mengetahui tuju bidang apa yang kita ingin ceburi pada masa depan. Tapi keputusan SPM juga bukan penamat atas apa yang kita minat.
“Tak semua orang akan jadi doktor atau engineer kerana ada banyak bidang lain kita boleh ceburi. Hanya perlu kenal pasti minat kita.”
Adriana Ghafar mendapat 5A termasuklah untuk subjek sains seperti Fizik dan Kimia.
“Jujurnya Adriana tak minat pun aliran Sains dan mengaku salah buat pilihan. Tapi apa yang Adriana ingin kongsikan ialah, jangan jadikan kesilapan pilihan ketika sekolah itu sebagai beban kesalahan sampai bila-bila.
“Adriana memilih Matrikulasi pengambilan kedua kemudian diterima masuk ke Universiti Malaya untuk bidang undang-undang.
“Penting untuk kita mencorak masa hadapan terutamanya selepas SPM. Apapun, buatlah yang terbaik untuk SPM dan buktikan kita boleh,” katanya memberi nasihat.
Yusmyra Natasha mengakui dahulu ‘kantoi’ bagi subjek Add Maths dan Biologi.
“Bagi Myra ia memang susah. Tapi Myra dapat A untuk Matematik dan beberapa subjek lain.
“Myra kemudian memilih tingkatan 6 dan memperolehi CGPA 2.78 semasa STPM dan terus ke universiti. Cuma semasa tahun pertama Myra berhenti untu fokus pada bidang yang Myra minati iaitu cheerleading.
“SPM penting tetapi ia bukan ukuran kejayaan masa hadapan. Ramai orang yang berjaya selepas SPM. Jawablah dengan tenang dan buat yang terbaik untuk banggakan mak ayah,” katanya memberi nasihat.
Andrianna Fernandez Azmi merupakan antara finalis yang baru saja meninggalkan zaman persekolahan.
Pada usia 19 tahun, Dian menasihati agar pelajar membaca keseluruhan topik dan bukan soalan ramalan.
“Kita kena baca semua subjek, takut-takut alau soalan ramalan tak keluar. Must study smart. Ulang kaji dan pastikan jawab dengan tenang,” katanya yang memperoleh 5A dalam aliran perakaunan.
Dalam pada itu, Syamira Izzati atau mesra disapa Mira berkata dia memperolehi 4A.
“Jangan ada perasaan rendah diri di antara pelajar Sains dan Sastera kerana rezeki serta bidang yang kita ceburi pada masa depan ada kepentingan yang tersendiri.
“Kata orang rezeki masing-masing. Tapi pastikan buat yang terbaik untuk SPM ini.”
*
Bukan calang-calang keputusan finalis Dewi Remaja 2019.