TikTok kini merupakan sumber tunggal berita yang paling banyak digunakan di semua platform untuk remaja di United Kingdom (UK), lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik satu kajian baru pengawal selia komunikasi UK Ofcom.
ARTIKEL BERKAITAN: Asyik Stres? Hanya Dengan Cuci Pinggan Dapat Hilangkan Stres Sebanyak 75 Peratus – Kajian Universiti
Laporan Penggunaan Berita Pengawal Selia Di UK 2022/23 mendapati TikTok adalah sumber berita tunggal yang digemari di kalangan kanak-kanak berumur 12 hingga 15 tahun.
TikTok paling popular di kalangan orang muda dan digunakan oleh 28 peratus remaja, diikuti oleh YouTube dan Instagram, kedua-duanya pada 25 peratus, menurut angka itu.
Tetapi dengan mengambil kira semua kandungan berita di seluruh platformnya, BBC masih mempunyai capaian tertinggi daripada mana-mana organisasi berita dalam kalangan kumpulan umur ini – digunakan oleh 39 peratus remaja.
Kecenderungan itu berlaku selepas kerajaan UK melarang menteri daripada menggunakan TikTok, yang merupakan aplikasi perkongsian video milik China, pada telefon kerja mereka berikutan satu semakan keselamatan.
TikTok dimiliki oleh syarikat internet China ByteDance, berpendapat platform itu tidak berkongsi data dengan China.
Bagaimanapun, undang-undang perisikan Beijing menetapkan syarat agar syarikat-syarikat membantu Parti Komunis apabila diminta.
Apabila mempertimbangkan persepsi kepercayaan, remaja menilai sumber tradisional lebih baik daripada rakan dalam talian mereka ketika BBC One/Two dipercayai oleh 82 peratus pengguna remajanya, berbanding TikTok pada 32 peratus, Instagram pada 38 peratus, Facebook pada 41 peratus dan Snapchat pada 31 peratus.
Topik berita yang paling menarik minat remaja yang lebih muda secara amnya ialah “personaliti sukan atau sukan” (23 peratus), “berita muzik atau penyanyi” (15 peratus), “selebriti atau orang terkenal” (11 peratus), “perkara serius berlaku di UK” (lapan peratus) dan berita tentang “haiwan atau alam sekitar” (sembilan peratus).
Selain itu, mereka yang berumur 16 hingga 24 tahun adalah lebih kecil daripada purata orang dewasa untuk mengakses berita daripada sumber media tradisional, seperti TV (47 berbanding 70 peratus), radio (25 berbanding 40 peratus) dan akhbar cetak (16 berbanding 26 peratus).
Sementara itu, platform media sosial mendominasi lima sumber berita paling popular dalam kalangan remaja berusia 16 hingga 24 tahun.
Tetapi Ofcom berkata angkanya menunjukkan siaran berita TV mengekalkan kedudukannya sebagai sumber paling popular di kalangan orang dewasa di UK, digunakan sebanyak 70 peratus, yang meningkat kepada 75 peratus apabila kandungan berita atas permintaan penyiaran disertakan.
Populariti TikTok sebagai sumber berita untuk orang dewasa semakin berkembang, dengan satu daripada 10 orang dewasa mengatakan mereka menggunakannya untuk mengikuti cerita terkini – mengatasi BBC Radio 1 dan Saluran 5, kedua-duanya pada lapan peratus buat kali pertama.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER FOTO: BERNAMA, Pixels