Sidang Parlimen Terus ‘Kantoikan’ Kesilapan Ahli Politik, Kali Ini Buatkan DYMM Agong Dukacita

Share

 

Minggu pembukaan semula sidang parlimen sejak Isnin lalu serta-merta menjadi bualan rakyat sepanjang empat hari ia berlangsung.

Mana yang baik dipuji, mana yang kurang disenangi... hhm korang pandai-pandailah habiskan ayat itu.

Pelbagai aspek melibatkan kepentingan masyarakat dan negara telah dibincangkan dan dibahaskan. Kebanyakan topik – seperti dijangka – berkisarkan keadaan pandemik COVID-19 di negara kita yang jujurnya masih mempunyai ‘loophole’ dari segi perlaksanaan pelan menentang wabak ini.

Contohnya, mengenai perlaksanaan Ordinan Darurat di Malaysia pada tahun ini. Ada yang bersetuju, ada juga yang bertanyakan apakah impak perlaksanaannya kepada Malaysia?

Tahu-tahu saja pada Isnin lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa 21 Julai lalu.

Aik, tak tahu pun! Ingatkan Malaysia masih berstatuskan darurat hingga ke hari ini.

Sumber Foto : FMT

ARTIKEL BERKAITAN : Pengisytiharan DARURAT Kepada Agong Tidak Bermaksud ‘Tentera Memerintah’, Cuma.. – REMAJA

Pembatalan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen ini bukan saja telah mengejutkan rakyat. Bahkan, Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menzahirkan rasa dukacita apabila semua Ordinan Darurat yang telah dimasyurkan itu dibatalkan dengan cara membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka sebagai Ketua Negara; yang bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri berdasarkan Perkara 40 (1) Perlembagaan.

Uh-oh, kira kantoi lah di situ ya?

Dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara iaitu Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin pada hari ini, ia berbunyi, “Perkara 150 (2B) dibaca dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan secara jelas memperuntukkan kuasa penggubalan dan pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat terletak pada Seri Paduka Baginda.

“(Justeru) Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa kenyataan Yang Berhormat Menteri di Parlimen pada 26 Julai 2021 adalah tidak tepat dan telah mengelirukan ahli-ahli Dewan Rakyat.”

Bukan hanya ahli Dewan Raykat saja yang keliru, rasanya seluruh rakyat Malaysia pada waktu ini juga keliru sama ada kita masih dalam perintah Darurat atapun tidak sebenarnya?

Mengikut kata-kata Yang Dipertua Dewan Rakyat iaitu Datuk Azhar Azizan Harun kelmarin, Takiyuddin dijadualkan memberi penjelasan pada Isnin minggu hadapan. Namun, ia ditentang oleh pihak pembangkang yang menyoal mengapa perlu bazirkan masa dan percanggahan makluman ini harus dijelaskan segera.

Di samping itu, kenyataan dari Istana Negara juga menyampaikan hasrat Seri Paduka agar ahli parlimen memberikan keutamaan kepada kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat serta negara pada sesi sidang Parlimen; terutamanya untuk mencari penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi semasa krisis pandemik sekarang.

Kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara ini telah menyebabkan sidang parlimen ditangguhkan pada hari ini hingga jam 2.30 petang ini. 

Published by
Team Remaja