Simpan Modal Sejak Remaja & Tinggal Kerjaya ‘Makan Gaji’. Pemuda Ini Bangga Mampu Buka Stesen Minyak Sendiri

Share

Berangan itu tak salah kan? Lagi best kalau angan-angan itu menjadi kenyataan. Bayangkan korang dapat sesuatu yang korang impikan dengan titik peluh sendiri. bestnya!!

Itu yang berlaku kepada pemuda berusia 34 tahun ini, Imran Ariff Mohamed @ Razlan, kisahnya memberi inspirasi kepada anak muda lain apabila menjadi antara pengusaha stesen minyak bumiputera termuda di Perlis.

Macam mana Imran Ariff berjaya memiliki stesen minyak seawal usia ini?

Semuanya bermula apabila beliau membuat keputusan untuk menceburi bidang peruncitan petroleum setelah terbaca iklan di laman sesawang Petronas kira-kira lima tahun lalu.

Bermula dari saat itulah bekas jurutera elektronik komputer itu nekad meninggalkan kerjaya ‘makan gaji’ dan beralih ke bidang peruncitan petroleum selepas diterima menjadi wakil niaga Petronas secara ‘Company Owned, Dealer Operate’ (CODO) pada awal 2019.

Imran Ariff menganggap dirinya bernasib baik kerana telah menyimpan modal sejak dari bangku sekolah lagi hasil dari pampasan yang diterimanya kerana terlibat dalam satu kemalangan pada usia 13 tahun dan menyimpan wang tersebut di dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Beliau turut menceritakan kisahnya ketika masih belajar di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang mana beliau terpaksa mendisiplinkan diri agar tidak menggunakan wang simpanan ASB tersebut biarpun pada masa itu hampir semua rakan-rakanya memiliki telefon pintar mewah kerana menunggu peluang membuat pelaburan yang menguntungkan dan dapat menjamin masa depannya.

Katanya, hanya mengeluarkan duit simpanan sebagai modal permulaan sebanyak RM250,000 pada 2019 apabila menerima tawaran menjadi wakil niaga Petronas.

Menceritakan pengalamannya, Imran Ariff berkata bukan mudah baginya untuk mendapat kepercayaan daripada Petronas dan beliau berusaha keras tanpa rasa putus asa dengan membuat pemohonan sebanyak dua kali bermula pada 2010.

“Pemohonan pertama saya ditolak kerana dianggap terlalu muda untuk menceburi bidang ini, kurang pengalaman dalam pengurusan perniagaan dan latar belakang kerjaya yang kurang sesuai.

“Usaha saya tidak terhenti setakat itu apabila pemohonan kali kedua saya diterima dan berjaya meyakinkan pihak Petronas dengan kertas kerja bertajuk ‘Bagaimana Seorang Jurutera Boleh Menguruskan Stesen Minyak dan Menaikkan Sales‘,” katanya.

Walaupun turut terkesan dengan keadaan ketika ini yang mana kerajaan melaksanakan PKP pada awal operasinya (Mei 2020), namun keadaan makin bertambah baik hasil daripada penggunaan media sosial untuk menarik minat orang ramai datang ke stesen minyak Petronas Jejawi.

Imran Ariff berkata tidak pernah menyesal meninggalkan kerjaya makan gaji kerana percaya bahawa usaha dengan berasaskan kesabaran pasti ada kejayaan.

“Ramai orang muda hari ini cepat mengalah apabila berdepan ujian gentir namun bagi saya perlu ada kesabaran untuk maju dalam perniagaan selain modal dan perancangan kewangan yang mantap,” katanya.

Moga kisah Imran Ariff ini menjadi inspirasi kepada remaja di luar sana untuk berjaya di masa hadapan.

Sumber: Bernama

Published by
Ruziana Zainal