Tular di media sosial apabila negara jiran kita, Singapura khabarnya menggunakan Breathonix breathalyser test kit sebagai alat pengesan COVID-19.
Ujian pernafasan yang mudah digunakan dan dapat mengesan dengan tepat virus tersebut dalam masa satu minit telah mendapat kelulusan sementara Lembaga Sains Kesihatan Singapura (HSA).
Sistem Ujian Pernafasan BreFence Go COVID-19 itu dibangunkan Breathonix Pte Ltd sebuah syarikat terbitan Universiti Nasional Singapura (NUS). Breathonix diasaskan tiga siswazah NUS, Dr Jia Zhunan, Du Fang dan Wayne Wee Shi Jie bersama penasihat PhD Dr Jia, Prof T. Venky Venkatesan dengan sokongan Program Inovasi Penyelidikan Siswazah NUS (GRIP).
Program ini dilaksanakan dengan mengambil kira situasi pandemik COVID-19 mungkin akan berlanjutan selama beberapa tahun. Ujian berulang perlu diterima pakai secara meluas sebagai strategi kesihatan awam utama untuk menyokong pembukaan semula ekonomi yang selamat dan teknologi buatan tempatan Breathonix tepat pada masanya.
Breathonix sedang bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Singapura untuk menguji teknologi itu di sebuah pusat pemeriksaan. Pelancong perlu menjalani ujian pernafasan BreFence Go COVID-19 serentak dengan ujian pantas antigen COVID-19 sedia ada.
Sistem itu berfungsi dengan mengesan Sebatian Organik Meruap (VOC) yang terdapat dalam nafas seseorang. VOC dihasilkan oleh pelbagai reaksi biokimia dalam sel manusia. Oleh kerana VOC daripada nafas orang yang sihat berbeza dengan yang berpenyakit, perubahan VOC dapat diukur untuk mengesan penyakit seperti COVID-19.
Ujian nafas itu juga mudah dilakukan tanpa memerlukan kakitangan terlatih secara perubatan atau pemprosesan makmal. Individu tersebut hanya perlu menghembus ke dalam penutup mulut injap pakai buang yang disambungkan dengan alat pernafasan berketepatan tinggi. Mereka yang didapati positif perlu menjalani ujian swab PCR COVID-19.
Sistem analisis nafas itu telah menjalani ujian klinikal di tiga lokasi sejak Jun tahun lalu hingga April 2021. Di Singapura, ia dijalankan di Pusat Penyakit Berjangkit dan Lapangan Terbang Changi sementara percubaan ketiga dilakukan di Dubai, bekerjasama dengan Lembaga Kesihatan Dubai dan Universiti Perubatan dan Sains Kesihatan Mohamed Bin Rashid.
Mungkin ramai yang bersetuju sekiranya ujian pernafasan ini dilakukan kerana setidaknya kita tidak perlu menahan sakit dicucuk hidung. Betul tak?
Sumber: (1)