Selepas mendirikan rumah tangga nampaknya finalis Hero Remaja 2017, Ikmal Amry telah melebarkan lagi sayapnya untuk menceburkan diri dalam bidang nyanyian pula. Single berjudul Tangisan Bahagiamu hasil ciptaan komposer terkenal Aidit Alfian dan liriknya ditulis oleh Nadia Khan diperdengarkan di majlis perkahwinan Ikmal dan pasangannya, Najla pada Disember lalu.
Kini, lagu nyanyian Ikmal Amry ini sudah pun boleh didengar menerusi corong-corong radio.
“Alhamdulillah, lagu Tangisan Bahagiamu kini sudah pun boleh didengar di radio. Semalam, HotFM ada tag Am di Insta Story dan insyaAllah selepas ini rancangan kami untuk mengedarkan lagu ini ke stesen-stesen radio yang lain pula,”
“Ini merupakan satu pengalaman baru untuk Am dan pada mulanya lagu ini dirakamkan sekadar untuk suka-suka bagi menghadiahkan dan memberi kejutan buat isteri di hari perkahwinan kami. Tapi, tak sangka pula abang Aidit Alfian dan Nadia serius untuk mengetengahkan single Am ini ke stesen radio. Sebelum itu, Am turut merakamkan semula lagu tersebut dan kalau korang nak dengar, boleh request di radio. Rakaman terbaru itu masih belum lagi dilancarkan di saluran YouTube,” jelasnya.
Ditanya adakah dia sudah beralih arah ke dalam industri nyanyian, Ikmal yang lebih mesra disapa sebagai Am tertawa sebaik mendengar soalan tersebut.
“Tidaklah sampai macam tu sekali. Am masih lagi aktif dalam bidang lakonan dan nyanyian pula hanyalah sekadar hobi. Lagu ini sebenarnya adalah hadiah daripada abang
Aidit kepada kami dan Nadia sendiri memberitahu Am untuk kami buat kejutan kepada Najla. Am sangat excited dan tidak mampu untuk menolak hadiah perkahwinan yang telah diberikan mereka ini. Bagi Am, ia sebagai simbolik kepada perkahwinan Am dan Najla dan tambahan pula, lagu ini dihasilkan oleh komposer terkenal,”
Bercakap tentang kerjaya lakonannya pula, Ikmal kini sedang berehat di kampung isterinya ekoran penangguhan penggambaran akibat PKP.
“Banyak job yang terpaksa ditanggungkan sejak PKP awal tahun ini dan sekarang Am hanya melakukan kerja-kerja seperti IG review yang tidak memerlukan kami untuk keluar rumah. InsyaAllah selepas PKP nanti, Am akan masuk semula ke set penggambaran drama yang tertunda. Sama-sama kita doakan agar wabak pandemik COVID-19 ini beransur pulih,” tambahnya lagi.