Setiap kali berlaku kematian, pasti kita akan dapat melihat pusara ditabur bunga dan disiram air oleh ahli keluarga sebaik habis bacaan talkin dilakukan.
Hal yang sama dapat dilihat ketika seseorang menziarahi kubur selain mengadakan membacakan Yassin di kubur ahli keluarganya. Hal menabur bunga dan menyiram air ini seolah-olah dilihat sebagai hal WAJIB sedangkan hakikatnya adakah benar hal ini wajib dilakukan?
Dengarkan penjelasan dari Ustaz Azhar Idrus ketika memberikan ceramah agama berkaitan hal menyiram kubur dan meletakkan bunga ini. Adakah ianya wajib atau apa hukumnya? Jangan sampai kita terikut-ikut melakukan suatu perkara tanpa tahu hukumnya.
Menurut Ustaz Azhar Idrus, hukum letak bunga di kubur bergantung kepada niat dan tujuan. Jika bertujuan mengikut sunnah Nabi saw yang meletak pelepah kurma yang masih hidup yang bertasbih kepada Allah dan meringankan keadaan arwah di alam barzakh maka adalah elok. Kerana setiap yang hidup seperti tumbuhan bertasbih sentiasa kepada Allah. dengan sebab tasbih yang hidup kepada Allah dekat kubur maka diharapkan ringan orang yang di dalam kubur.
Jika bertujuan mengikut budaya orang bukan Islam meletak bunga maka ia adalah dilarang.
Syeikh Atiyah Saqar Ketua Mufti Lajnah Fatwa al-Azhar berkata :
“Ini adalah masalah antara golongan mengharuskan dan golongan yang menegah. Saya melihat tiada tegahan pada perkara ini selagi mana ia beriktikad (menyakini) bahawa yang memberi manfaat dan mudarat itu hanyalah Allah SWT.
Apa yang kita hadiahkan kepada si mati seperti doa, sedekah dan lain-lain lagi adalah ‘min babil asbab’ semata-mata mengharapkan rahmat Allah swt.
Justeru, perbuatan menaburkan bunga sebagai menggantikan pelepah dan ranting basah adalah harus. Bagaimanapun, jika bunga itu dibeli dengan harga mahal semata-mata untuk melakukan perbuatan itu, dibimbangi ia akan jatuh kepada haram disebabkan membazir.”
Sumber : FB Ustaz Azhar Idrus (original)