Dalam Negara

Siti Bayu Raih Keputusan Cemerlang Dalam SPM (9A) Walaupun Menghidap Kemurungan

Share

Walaupun diuji dengan masalah kemurungan sehingga perlu mendapatkan rawatan psikologi di hospital, ianya tidak menjadi penghalang buat pelajar, Siti Bayu Mohd Ridzuan (18) untuk mendapat keputusan cemerlang 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang diumumkan semalam.

Siti Bayu yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Kerian , terpaksa menduduki peperiksaan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II mengakui bersyukur dengan keputusan itu selepas mengharungi pelbagai cabaran akibat kemurungan sejak 2019 lagi.

Kredit: Sinar Harian

Katanya, menghidap kemurungan ketika bergelar seorang pelajar bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi berkat sokongan ibu bapa, guru dan kekal positif menjalani rawatan menjadi kunci utama kejayaannya.

Artikel Berkaitan: “9A, Mantap ar… Congratulations”, Adik Meerqeen Raih Keputusan Cemerlang Dalam SPM 2023!

“Sebenarnya saya tidak sangka dapat 9A(2A+ ,7A), sebab ketika percubaan tempoh hari saya memperoleh C untuk subjek Matematik. Bagaimanapun, Alhamdulillah, hasil usaha saya membuat latih tubi, akhirnya saya memperoleh A bagi subjek ini”

Disebabkan kemurungan ini juga saya terpaksa bertukar-tukar sekolah sehingga akhirnya selesa di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Kerian 1. Terima kasih kepada semua guru mengajar kerana memahami keadaan saya yang sebenar”

Kredit: Sinar Harian

Menurut Siti Bayu, keadaannya kini semakin membaik dan berharap dirinya boleh terus kuat kerana selepas ini lebih banyak yang ingin dicapai termasuk berjaya melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi.

Pelajar cemerlang itu berhasrat untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya (UM) dalam jurusan perundangan dan  mempunyai cara tersendiri ketika mengulangkaji pelajaran iaitu dengan membuat latihan atau nota menggunakan pen merah supaya lebih mudah diingati.

“Sebulan sebelum menduduki peperiksaan SPM, saya akan bangun seawal jam 4 pagi untuk mengulangkaji pelajaran kerana berasa lebih segar dan tenang untuk belajar sehinggalah azan Subuh berkumandang”

Kredit: Sinar Harian

“Saya juga mahu mengucapkan terima kasih kepada semua doktor yang merawat saya di HRPZ II, terutama kepada Dr Suria yang paling rapat dan sering memberi dorongan serta sokongan yang tidak putus-putus”

Dalam pada itu, Siti Bayu juga berharap melalui prestasinya ini, ia boleh memberi semangat kepada rakan-rakan lain yang senasib selain membuktikan bahawa mereka yang kemurungan boleh sembuh seterusnya berjaya seperti orang lain.

Artikel Berkaitan: “Ibu Tak Pandai Biarlah Anak Pandai…” Anak Pelakon Zarina Zainuddin Dapat 6A Dalam SPM 2023

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE