Tanda Tanya Terjawab, Siti Nurhaliza Buka Mulut Sebab Tolak Duduki Kerusi Juri Big Stage 5

Share

Program realiti televisyen nyanyian popular, Big Stage secara rasminya kembali bersiaran bagi musim 5 secara langsung, pada Ahad lepas.

Sempena konsert pertama, tirai Big Stage 5 yang telah dibuka dengan menyaksikan 13 orang peserta berentap gelaran juara serta pelbagai kejutan yang disediakan oleh pihak produksi Astro.

Namun begitu, kelibat penyanyi nombor satu negara dan selaku juri Big Stage musim lalu, Datuk Seri Siti Nurhaliza tiada di kerusi juri pertandingan menjadi tanda tanya ramai.

ARTIKEL BERKAITAN: “Punyai Peminat Setia Satu Anugerah Yang Tak Ternilai” -27 Tahun Siti Nurhaliza Di Persada Seni, Mahu Jejak Royal Albert Hall Sekali Lagi

Menerusi video yang dimuat naik semula di TikTok, Siti tampil menjawab pertanyaan pengikutnya tentang penglibatan dirinya sebagai juri dalam rancangan realiti edisi tahun.

Dedahnya, ketika ini beliau mahu memberikan tumpuan dan perhatian kepada dua orang cahaya matanya. Oleh hal demikian, beliau terpaksa menolak untuk menjadi juri program tersebut.

Ulas penyanyi Jerat Percintaan itu lagi, ketika beliau dilantik sebagai juri Big Stage musim lalu, beliau kadangkala tidak dapat menghadiri ke sesi sidang media memandangkan puteri sulungnya, Siti Aafiyah yang masih kecil pada waktu itu.

“Sebab saya ada dua anak, komitmen banyak. Balik daripada jadi juri itu, kadang-kadang waktu tak mengizinkan.

“Dulu masa Aafiyah pun, saya minta maaf kadang-kadang saya tak dapat nak pergi sidang media dan sebagainya sebab anak kecil lagi. Bila ada dua orang anak sekarang, komitmen lagi besarlah kan.. nak tinggalkan mereka,” jawabnya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet memahami akan fasa kehidupan sebagai seorang ibu yang perlu memberikan tumpuan kepada perkembangan kesemua cahaya mata terutama ketika mereka masih kecil.

“Dia dah dapat semuanya masa zaman anak dara. Sekarang, dia nak ada masa dengan keluarga untuk melihat anak-anak membesar. Nak uruskan empayar bisnes dia lagi,” komen seorang peminat.

“Bila dah bergelar ibu, pilihan Tokti memang bijak. Masa anak membesar sekali sahaja dalam hidup dia, terlepas peluang tak akan boleh patah balik. Enjoy your life Tokti,” komen peminat lain.

“Bila ada anak, family first lah biarlah apa orang nak kata masa berlalu itu tidak boleh diganti semula…bukan mudah nak dapat anak,” tulis seorang lagi pengguna TikTok.

Sekadar informasi, Big Stage 5 akan terus bersiaran secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada setiap hari Ahad, jam 9:00 malam menerusi saluran 104 Astro Ria selama sepuluh minggu.

SUMBER FOTO: Instagram Siti Nurhaliza & TikTok Siti Nurhaliza Galery

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.


Published by
Fath