Dua insan hebat ini tidak perlu diperkenalkan lagi, nama mereka merupakan ‘jenama’ yang meniti dibibir kebanyakan rakyat Malaysia. Kedua-duanya bermula di dalam bidang seni sebelum menjadi seorang ahli perniagaan seterusnya memanfaatkan kekayaan dan juga populariti yang dikecapi untuk membantu mereka yang dalam kesusahan.
Terbaru, Forbes Asia telah menyenaraikan dua bintang dari Malaysia ini di dalam senarai 100 Bintang Digital Forbes Asia. Dalam penulisan yang disertakan bersama penyenaraian itu, Datuk Seri Siti Nurhaliza dilihat aktif dalam membantu peniaga makanan dan restoran yang terkesan disebabkan oleh pandemik Covid-19 sejak awal tahun ini.
Dengan kekuatan 7.9 juta pengikut di Instagram, beliau membantu peniaga-peniaga tersebut mendapatkan publisiti yang lebih tinggi. Tahun ini juga penyanyi kesayangan ramai ini telah melancarkan album solo ke-18 dengan tajuk ManifestaSITI 2020 yang mendapat sambutan hangat dari para peminat beliau. Selain itu, pelantun lagu popular kini, Aku Bidadari Syurgamu turut sibuk dengan perniagaan produk kecantikan halal, SimplySiti.
Merupakan alumni Asia Forbes 30 under 30, penyenaraian Neelofa di antara 100 bintang digital Forbes Asia bukan satu perkara yang mengejutkan. Bahkan ini merupakan satu penanda aras yang wanita asal Kelantan ini dan juga merupakan Dewi Remaja 2009/2010 seorang personaliti yang punya visi yang jelas di dalam hidupnya.
Baru sahaja berniqab, dia merupakan individu paling ramai pengikut di Instagram di Malaysia seramai 8.2 juta pengikut. Sibuk dengan empayar perniagaan hijab dan busana siap pakai sopan, Naelofar yang dimulakan sejak 2014. Dia kini mengembangkan sayap dengan lebih luas dalam bidang kemanusiaan pula menerusi penubuhan Kasih Neelofa dan terbaru Markaz Tijari yang bertujuan membantu rakyat Malaysia menjana pendapatan melalui perniagaan khususnya golongan wanita dan pelajar.
Inilah yang dikatakan wanita yang penuh dengan inspirasi. Kehebatan mereka bukan sahaja dalam kerjaya bahkan dalam membantu orang yang memerlukan juga. Tahniah.