Tahniah diucapkan kepada ‘buah hati’ Malaysia, penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Angkasawan Negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar kerana berada di kedudukan teratas sebagai World’s Most Admired bagi kategori Malaysia yang dikeluarkan oleh portal YouGov.
Portal tersebut telah mengumpulkan pencalonan terbuka World’s Most Admired daripada panel di 42 negara dan wilayah seluruh dunia bermula Januari hingga Mac tahun ini. Kajian tahun ini adalah kajian terbesar mereka dengan lebih daripada 45,000 orang di 42 negara dan wilayah ditemu ramah untuk menyusun senarai.
Datuk Dr Sheikh Muszaphar juga turut berkongsi penghargaan ini di laman Facebooknya.
Datuk Seri Siti Nurhaliza meraih 18.83 peratusan kekaguman bagi setiap orang di 42 negara dan wilayah di seluruh dunia untuk kategori wanita. Selain itu, Dr Amalina Che Bakri menduduki tempat kedua dengan 10.03 peratus dan diikuti Datuk Nicol David yang memperoleh 6.76 peratus.
Bagi kategori lelaki pula, Datuk Dr Sheikh Muszaphar mengungguli carta dengan 10.64 peratus, diikuti Datuk Lee Chong Wei sebanyak 8.88 peratus dan Tun Mahathir Mohamad memperoleh 8.80 peratus.
Tidak dinafikan penglibatan dua personaliti ini dalam bidang masing-masing sering kali menjadi inspirasi dan kebanggaan masyarakat di Malaysia. Maka, tidak hairanlah sekiranya mereka menjadi antara individu yang dikagumi di negara kita.
Syabas diucapkan sekali lagi kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Dr Sheikh Muszaphar.