Aktres jelita, Siti Saleha kini lebih berhati-hati berkongsi apa saja aktiviti di media sosial miliknya, terutamanya menerusi sesi siaran langsung.
Berkata kepada Remaja, sesi siaran langsung juga dapat mendedahkan seseorang individu kepada bahaya yang tidak dijangka.
ARTIKEL BERKAITAN :Muat Naik Gambar Bersama Seorang Jejaka, Inikah Kekasih Siti Saleha?
“Saya rasa bila buat siaran langsung, orang boleh tahu di mana lokasi kita berada. Kita juga kena bijak berkongsi aktiviti di media sosial.
“Kalau keluar beli barang dapur atau isi minyak, saya memang buat sendiri tapi pada waktu siang. Selain, saya jarang buat siaran langsung dan kongsi keadaan persekitaran rumah,” tuturnya.
Pelakon drama popular 7 Hari Mencintaiku itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran drama siri terbaru Viu, The Secret.
Mengulas situasi semasa dan kes jenayah pada masa ini, pelakon berdarah kacukan itu memaklumkan, setiap individu terutama kaum wanita perlu peka dengan keadaan sekeliling dan tidak mudah leka.
Katanya, penting untuk setiap individu lebih berhati-hati apabila berada di luar dan tidak berdiam diri sekiranya menjadi mangsa jenayah.
“Sedih apabila baca berita semasa berkaitan jenayah bunuh dan rogol yang dilaporkan kebelakangan ini. Apa yang boleh saya sarankan kita perlu sentiasa beringat bila berada di luar rumah. Elakkan kalau tahu tempat yang dituju tidak selamat.
“Walaupun pun saya sendiri ada seni mempertahankan diri Muay Thai, bila keluar saya akan ditemani pengurus atau kawan-kawan.
“Apa yang penting, sekiranya menjadi mangsa jenayah, laporkan, tidak kiralah anda perempuan atau lelaki. Jangan mendiamkan diri kerana ia boleh menjejaskan kesihatan mental,” katanya.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER FOTO: Instagram Siti Saleha