Personaliti media sosial yang juga bekas isteri pelakon Hafidz Roshdi, Nurul Shuhada mengakui kehidupannya kini semakin baik apabila tekad memilih untuk menetap di Australia.
Kata ibu kepada sepasang cahaya mata itu, sebelum ini dia pernah mempertikaikan tentang nasib dirinya sehingga diduga dengan pelbagai dugaan hidup.
“Dulu saya memang terfikir mengapa Allah berikan saya ujian sebegini, apa salah saya. Tetapi saya bersangka baik dengan Allah dan Dia gantikan saya dengan benda lebih baik. Jika dulu hidup bagaimana, tetapi sekarang ini Allah memberikan kepada saya kualiti hidup yang lebih baik.
BACA JUGA: Anak Perempuan Terima Anugerah Pelajar Cemerlang 2023, Nurul Shuhada Titip Rasa Syukur
“Allah izinkan saya untuk bersama dengan kedua-dua anak dan menetap di sini. Saya bukan hendak berlagak, tetapi saya hendak kalian semua percaya Allah tidak akan membebankan kita dengan perkara yang kita tidak mampu,” katanya dalam satu siaran langsung TikTok.
Tambahnya lagi, kehidupan yang lebih baik itu bukan bermaksud dia kini sedang menjalin hubungan cinta dengan seorang lelaki atau ingin menunjuk kehidupan kini lebih baik berbanding sebelumnya.
“Saya katakan Allah akan menggantikan kita dengan yang lebih baik itu, bukan bermaksud menggantikan lelaki yang lebih baik. Tidak, saya di sini tiada sesiapa dan tidak bercinta dengan mana-mana lelaki.
“Setiap daripada kita mempunyai ujian hidup masing-masing. Saya juga bukan orang baik dan tidak lari daripada berbuat dosa, tetapi paling utama perlu meletakkan Allah sebagai nombor satu, insya-Allah,” tuturnya panjang.
Awal Ogos lalu, Shuhada memaklumkan dia kini bersama dua cahaya masa tersayangnya sudah berhijrah ke Australia dan difahamkan menetap di Melbourne bagi menyambung pengajian di sebuah institut pendidikan.
Malah dia juga tidak menolak untuk terus menetap di Australia dan tidak merancang untuk kembali ke tanah air dalam tempoh masa terdekat.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBERO FOTO: Instagram Nurul Shuhada