Situasi cuaca semasa di Malaysia pada awal ini jelas tidak menentu.
Implikasi daripada amaran cuaca bahaya dengan hujan lebat yang dijangka berlaku di seluruh negara terutamanya di Terengganu, Pahang dan Johor sepanjang minggu ini, Habatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran cuaca bahaya di beberapa kawasan terjejas.
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh BERNAMA, kawasan yang mungkin akan terjejas teruk di Terengganu ialah daerah Kemaman, Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Marang dan Dungun.
Di Pahang pula, ia lebih menyeluruh dengan membabitkan kawasan seperti Raub, Jerantut, Bentong, Temerloh, Maran, Kuantan, Pekan, Rompin, Cameron Highlands, Lipis dan Bera.
Negeri terawal yang terjejas akibat situasi cuaca ini iaitu Johor pula perlu bersiap sedia untuk berdepan hujan lebat berterusan di daerah Mersing, Segamat, Kluang, Kota Tinggi, Kulai, Batu Pahat, Muar, Tangkak dan Johor Bahru.
Beberapa negeri lain yang akan menerima tempias cuaca hujan lebat dan suhu jatuh menjunam ialah negeri Perak, Selangor dan Sabah.
ARTIKEL BERKAITAN: Banjir di Johor Semakin Buruk! Elak Panik Kalau Kereta Naik Air & Ikut 6 Langkah Ini – REMAJA
Sebagai saudara sesama agama dan sebagai rakyat Malaysia secara amnya, wajarlah untuk kita sampaikan satu doa khusus yang boleh diamalkan semasa kita melihat orang lain ditimpa musibah.
Doa ini adalah bagi kita meminta perlindungan daripada Allah SWT agar terhindar daripada sebarang musibah fizikal yang boleh menimpa kita pada bila-bila masa.
Ia juga boleh diucapkan sekiranya kita melihat bala penyakit melanda sesebuah kawasan, ataupun sekiranya kekufuran di kalangan masyarakat jelas dapat dilihat.
Riwayat Ibnu Umar dari ayahnya, Umar Radhiyallahu ‘Anhuma, bahawa Rasulullah SWT bersabda:
*
“Alhamdulillahilladzi ‘aafaani mimmab talaaka bihi, wa faddhalanii ‘ala katsiirim mimman khalaqa tafdhilaa.”
(Maksudnya: Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan aku dari musibah yang menimpamu dan benar-benar memuliakanku dari makhluk lainnya.)
“Jika kalimah ini diucapkan, maka ia akan diselamatkan dari musibah tersebut, musibah apa pun itu semasa ia hidup.” (Hadis Riwayat Tirmidzi)
*
Pengajaran yang kita boleh dapati daripada bacaan doa tersebut adalah untuk mengingatkan kita agar sentiasa bersyukur kepada Allah SWT kerana kita masih diselamatkan olehNya daripada bala bencana atau penyakit yang sedang melanda orang lain.
Bukanlah untuk kita merasa ‘selamat’ kerana diikecualikan. Kita seharusnya merasa gentar jika musibah yang sama melanda diri kita. Ia mengingatkan kita untuk tidak pernah melupakan Allah SWT di saat senang mahupun susah.
Pada masa yang sama, kita seharusnya bersyukur kita masih dipelihara olehNya dan masih berpeluang untuk kembali ke jalan yang benar.
BACA LAGI: Penuntut Universiti Hilang Dan Bapa Mangsa Pertama Banjir Di Pahang – REMAJA
Sebaiknya, kita disarankan untuk menyambung bacaan doa sebentar tadi dengan bacaan doa berikut
“Innalillahi wa inna ilaihi roji’un. Allahumma ajirhum fii mushibatihim, wa akhlif lahum khoiron minha.”
Maksudnya: Sesungguhnya kita milik Allah dan sungguh hanya kepada-Nya kita akan kembali. Ya Allah, berilah mereka pahala dalam musibah mereka dan berilah ganti yang lebih baik.
*
Meskipun kita sedih melihat kejadian yang menimpa masyarakat di beberapa buah negeri buat masa ini, kita wajib percaya bahawa ini adalah takdir yang diturunkan oleh Allah SWT ke atas umat zaman ini bagi mengingatkan kita untuk selalu kembali kepadaNya pada waktu senang mahupun susah.
Wallahualam.