SK Intan Baiduri Rai Sambutan Bulan Kemerdekaan & Ulangtahun Ke 15

Share

31 Ogos ini, negara akan meraikan sambutan hari kebangsaan. Memilih tema Sayangi Malaysiaku, ini kali ke 61 negara mencapai kemerdekaan. Sebagai rakyat yang hidup dalam sebuah negara yang aman damai, seharuskan kemakmuran ini dikekalkan sampai bila-bila.

Sempena hari kemerdekaan yang bakal disambut dua hari lagi, SK Intan Baiduri, Kuala Lumpur terlebih dahulu menyambutnya demi menyemai semangat patriotik di kalangan pelajar sekolah. Ia juga sempena Ulang Tahun ke 15 Sekolah Kebangsaan Intan Baiduri yang menyambut jubli gangsanya.

Menurut Guru Besar SK Intan Baiduri Tuan Haji Ahmad Fuad Haji Ahmad, program sambutan bulan kemerdekaan ini bermatlamat melahirkan semangat patriotik dalam diri para pelajar.

Guru Besar, Tuan Haji Ahmad Daud menurunkan “cop tangan” di dinding sekolah sempena ulang tahun ke 15 Sk Intan Baiduri.

 

Barisan guru dan PIBG sama memeriahkan sambutan bulan kemerdekaan ini

“Masa yang sama, ia menanam semangat jati diri dalam kalangan pelajar. Program sebegini juga mampu memupuk nilai kesyukuran dan bangga terhadap negara, menghargai jasa dan tokoh-tokoh terdahulu dan murid-murid dapat hidup bersatu padu dengan menghayati tema kemerdekaan sepenuhnya,”katanya ketika ditemui.

Pada majlis penuh meriah itu, bermula dari murid-murid pra sekolah diikuti perbarisan tahap satu mengikut kelas, masing-masing segak dengan gaya kemerdekaan, berbaris dan membuat lintas langsung hormat kepada para guru, ibu bapa, warga emas PPR Intan Baiduri, anggota keselamatan seperti bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Jinjang, polis dari Balai polis trafik Kuala Lumpur serta Jabatan Pertahanan Awam Sentul (JPAM), mantan pentadbir SK Intan Baiduri yang turut berada di tapak sekolah. Hadir sama adalah Guru Besar St Mary yang juga merupakan jiran sekolah berdekatan pada majlis penuh kemeriahan ini.

Perarakan masuk pelajar dalam Pertandingan Perbarisan Tahap 1 dan Pra Sekolah

 

Masing-masing ceria dalam tema pakaian yang berwarna warni

 

Pertandingan basikal berhias disertai murid tahap 2

Ada yang memilih tema bendera Malaysia untuk dijadikan baju, ada tema tradisional. Tidak kurang juga penuh semangat dan gaya tersendiri anak-anak kecil ini dididik dan dipupuk untuk menanam semangat patriotik dalam diri pelajar.

Selesai perbarisan, diadakan pula acara pertandingan basikal berhias. Pelbagai acara diadakan termasuklah pertandingan nanyian koir, kelas paling patriotik serta tayangan filem patriotik kepada pelajar. Bukan itu saja, acara dipadatkan lagi dengan beberapa pertandingan lain seperti persembahan tarian tradisional, persembahan bercerita kemerdekaan, persembahan koir, persembahan sajak kemerdekaan, nyanyian lagu patriotik dan banyak lagi.

Majlis sambutan bulan kemerdekaan dan ulang tahun ke 15 SK Intan Baiduri diserikan dengan kehadiran persembahan pancaragam dari SMK St Mary serta “cop tangan” di dinding sekolah yang menjadi nilai untuk dikenang.

Persembahan pancaragam dari SMK Sy Mary

 

Barisan guru-guru dari Sk Intan Baiduri yang tampil dengan semangat patriotik

 

Di sebalik keriangan pelajar, iringan masuk kereta bomba, polis dan JPAM dengan lintas langsung memberikan keceriaan berganda untuk pelajar. Lebih menarik, pelajar diberi kesempatan menaiki kereta bomba, polis dan JPAM demi memupuk minat mereka dalam dunia pekerjaan apabila dewasa kelak.

Published by
Almaswa Haji Che Ros