Angka 177 nyata ditunggu-tunggu oleh seluruh rakyat Malaysia yang menonton siarang langsung acara pembukaan Sukan Olimpik ke-32 pada malam ini.
Angka tersebut mewakili giliran delagasi atlet dan pegawai dari Malaysia untuk berarak masuk ke dalam Stadium Olimpik Tokyo.
Dalam suasana acara yang lebih ringkas berbanding edisi Olimpik terdahulu yang menjadikan acara pembukaan sebagai momen utama penganjuran mereka, semua yang terlibat pada malam ini berada dalam keadaan berjaga-jaga dengan menjaga penjarakan sosial serta memakai pelitup muka sepanjang masa.
BACA LAGI : Belum Sempat Jayakan Upacara Pembukaan Olimpik, Pengarahnya DIPECAT! – REMAJA
Bercakap mengenai perarakan masuk delegasi Malaysia, mereka nyata telah membuat kejutan kepada semua orang dengan pemilihan persalinan serba segak dan cantik.
Selalunya pada kejohanan sukan sebesar Sukan Olimpik, Malaysia seringkali memilih persalinan berwarna jingga-hitam bagi mewakili semangat harimau Malaya.
Bagaimanapun pada malam ini, skuad Malaysia yang diketuai pembawa Jalur Gemilang, Lee Zii Jia dan Goh Liu Ying telah menyarungkan persalinan yang diilhamkan daripada Laksamana Hang Tuah.
Ia juga mewakili keempat-empat warna pada Jalur Gemilang. Bagi atlet lelaki, masing-masing segak dengan sampin, bengkong dan tanjak. Manakala bagi wanita, mereka melengkapi saudara lelaki mereka dengan baju kurung putih berkain sarong corak serta kot labuh berwarna merah. Turut menghiasi persalinan mereka ialah aksesori dokoh berwarna emas dan pelitup muka khas dengan paten sama serta bendera Malaysia kecil.
Menariknya, persalinan pada malam ini telah direka serta disiapkan khas oleh Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.
Perubahan stail persalinan skuad Malaysia kali ini telah menerima respon yang amat positif dalam kalangan warganet yang menonton siaran langsung sebentar tadi.
View this post on Instagram
Untuk pengetahuan, lebih 200 negara telah berarak masuk ke dalam stadium. Akan tetapi, tidak semua atlet dan pegawai boleh mewakili negara mereka. Jumlah tersebut terpaksa dikecilkan sebagai langkah berjaga-jaga mengelakkan jangkitan wabak Covid-19 dalam kalangan semua pihak yang terlibat.
ARTIKEL BERKAITAN : Atlet Malaysia Yang Layakkan Diri SEBULAN Sebelum Pembukaan Sukan Olimpik – REMAJA